Bekas pelajar MPI YIK mahu luaskan Projek Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekumpulan bekas pelajar Maahad Pengajian Islam (MPI) berjaya menganjurkan Projek Ramadan dengan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada orang awam sepanjang Ramadan lalu dan berhasrat meneruskannya tahun hadapan.

- Advertisement -

MPI merupakan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang terletak di Kota Bharu.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Muhammad Irfan Zulqarnain Ismail berkata, jika tahun ini mereka memulakan agihan dengan minuman air balang, tahun hadapan mereka merancang untuk memperluaskan sumbangan ke rumah anak-anak yatim.

“Insya-Allah, berdasarkan pengalaman kami tahun ini, kami akan susun lebih teratur untuk sumbangan ke rumah anak-anak yatim sekitar Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sepanjang Ramadan lalu, seramai sembilan bekas pelajar MPI berganding tenaga menjayakan agihan minuman kepada orang awam yang melalui jalan utama berhampiran sekolah berkenaan setiap hari Jumaat.

Menurut Irfan, hasrat untuk menjalankan projek ini sebenarnya sudah ada sejak tahun lalu, namun kekangan kewangan menjadi penghalang utama.

“Tambahan pula, ketika itu kebanyakan kami masih belajar. Tapi tahun ini ramai yang sudah bekerja, walaupun ada yang hanya bekerja separuh masa, mereka tetap menyumbang,” jelasnya.

Program tersebut dijalankan selama empat minggu iaitu pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan.

Pada minggu pertama, mereka hanya mampu menyediakan air minuman sebagai juadah berbuka kerana kekurangan dana dan pengalaman.

Sasaran utama agihan ialah orang awam yang melalui kawasan sekitar MPI termasuk perhentian bas berdekatan.

“Dana awal kami kumpul sesama sendiri. Dari minggu pertama hingga ketiga, kami guna duit sendiri untuk beli air balang. Tapi kerana semangat kami mahu menyumbang walaupun dengan cara kecil, kami tetap teruskan,” katanya.

Memasuki minggu kedua dan ketiga, kumpulan itu turut mengagihkan makanan apabila beberapa kenalan tampil menaja nasi bungkus untuk diedarkan bersama minuman.

Menjelang minggu keempat, mereka membuka peluang sumbangan kepada orang awam dan mendapat sambutan baik, khususnya dalam kalangan bekas pelajar MPI sendiri.

Menurut Irfan, hasil kutipan dana sepanjang program mencecah RM2,296 menjelang akhir Ramadan.

Tambahnya, jika pada awalnya hanya sembilan orang terlibat, jumlah sukarelawan meningkat kepada 12 orang apabila rakan-rakan yang pulang bercuti Aidilfitri turut sama membantu.

“Kejayaan Projek Ramadan ini memberi motivasi kepada kami untuk teruskan usaha kebajikan pada masa depan.

“Kami sangat bersyukur, walaupun bermula kecil, sambutan dan sokongan sangat luar biasa. Semoga ia menjadi amal jariah untuk kita semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/4/2025

- Advertisement -