
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa dikeluarkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) berhubung pencerobohan rejim Zionis di Gaza serta pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, fatwa itu bukan sahaja menunjukkan ketegasan terhadap penindasan berterusan, malah menegaskan keadaan kritikal dihadapi rakyat Palestin yang memerlukan tindakan segera dan penyertaan aktif umat Islam seluruh dunia.
“Kezaliman yang berlaku di Gaza memerlukan tindakan lebih tegas dan fatwa ini memberikan panduan jelas kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam dalam menentukan pendirian mereka terhadap kezaliman tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin.
Oleh demikian, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk memboikot produk perkhidmatan dan sebarang bentuk hubungan ekonomi dengan negara atau entiti yang bersekongkol dengan rejim Zionis.
“Tindakan boikot ini adalah langkah praktikal untuk menekan pihak-pihak yang terlibat dalam menindas rakyat Palestin. Ini adalah satu pernyataan keberanian dan komitmen kita dalam membela keadilan meskipun dihujani dengan cabaran,” katanya.
Justeru, GAMIS turut mengajak kerajaan, institusi keagamaan, pertubuhan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), media tempatan serta seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar terus bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.
“Jangan putus menyuarakan krisis kemanusiaan dan sampaikan suara para ulama yang menyuarakan kebenaran dan keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2025











