Solidariti Palestin disemarak ketika rumah terbuka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Solidariti rakyat terhadap perjuangan penduduk Palestin dan pembebasan Masjid al-Aqsa perlu disemarakkan ketika umat Islam seluruh dunia sedang menyambut hari raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, masyarakat dunia terus menyatakan bantahan yang keras terhadap kekejaman dilakukan oleh rejim Zionis-Israel.

Beliau berkata, rakyat diminta agar meneruskan lagi kempen boikot terhadap syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan atau kaitan secara langsung dengan kerajaan haram itu.

“Kekejaman rejim Zionis kepada rakyat Palestin telah berlarutan hampir 600 hari dan ia menjadikannya sebagai konflik ini antara tragedi kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden.

“Hari ini hari raya yang kita sambut, namun dalam masa yang sama jangan sesekali kita melupakan saudara seagama kita di bumi Palestin yang terus dibunuh dengan kejam oleh Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di pekarangan Pasar Tok Kenali, di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, Dato’ Abdul Rahman Yunus serta Exco Kerajaan, Dato’ Md Anizam Ab Rahman.

Malah acara tahunan itu turut menjadikan tema majlis iaitu ‘Cinta Palestin’ bagi memberi mesej kepada masyarakat supaya terus menyemarakkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Mohd Asri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta meminta umat Islam di negeri ini terus berdoa sebagai tanda sokongan perjuangan Palestin.

Media sebelum ini melaporkan serangan demi serangan dilakukan oleh tentera udara Israel ke atas Semenanjung Gaza yang membunuh puluhan penduduknya terdiri kanak-kanak dan warga emas.

Malah angka kematian akibat konflik yang disifatkan sebagai genosid sejak Oktober 2023 meningkat kepada 50,609 orang di samping ratusan lagi cedera dipindahkan ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -