Rangka kaedah agar peniaga tutup awal malam raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dijangka merangka satu kaedah bagi memastikan peniaga pada malam hari raya dapat mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, golongan tersebut diminta menjalankan urusan sehingga jam 12 malam.

Bagaimanapun ketika malam hari raya, beliau dimaklumkan masih ada peniaga meneruskan aktiviti jual beli sehingga jam empat pagi serta menganggu kerja pembersihan dilakukan PBT.

“Malam raya pukul empat pagi baru demo (dia) tu tutup bazar, tak ikut arahan, tiada tindakan apa-apa cuma tak sempat petugas kebersihan kita untuk meneruskan kerja kutipan sampah.

“Sepatutnya jam 12 malam sahaja, memandangkan ramai perantau pulang, jadi kita kena fikir satu kaedah supaya peniaga-peniaga ini dapat menutup lebih awal perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat program Rumah Terbuka PAS Kelantan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil turut menjelaskan kerajaan negeri berjaya menangani peningkatan jumlah sampah khususnya selama seminggu cuti musim perayaan.

Beliau berkata, pada hari biasa kutipan sampah mencecah jumlah sebanyak 200 tan, malah kadar tersebut meningkat sekali ganda, 400 tan, untuk dihantar ke tiga lokasi pelupusan sampah.

Menurutnya, sampah di Kota Bharu, Bachok, Ketereh, Pasir Puteh dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah, Beris Lalang Bachok, Tumpat di Kok Bedollah sementara Tanah Merah di Bukit Che Ros.

“Kebanjiran perantau pulang ke kampung bertambah dua kali ganda, jadual kita seperti biasa tidak dapat menampung jumlah harian sampah dua kali ganda daripada biasa, tapak pelupusan buka sampai pagi.

“Pada musim perayaan ini, tapak pelupusan kita beroperasi sampai pagi bagi menghadapi kebanjiran anak perantau yang pulang ke kampung jadi bertambah dua kali ganda berbanding hari-hari biasa.

“Semua tapak pelupusan sampah ini diuruskan oleh Kelantan Utilities Mubaaraakan (KUM) membuat operasi yang sistematik termasuk stesen timbang, pengasingan sampah dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -