
KUALA SELANGOR: Sebuah jambatan besi di Batu 8 Ijok, di sini menjadi perhatian apabila dipenuhi sampah sarap sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan para pekebun yang kerap menggunakannya.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, aduan berhubung masalah berkenaan diterima selepas beliau menjalankan program ziarah di sekitar kawasan berkenaan, hari ini.
“Penduduk menyuarakan kebimbangan mereka bahawa jambatan itu kini ibarat ‘perangkap sampah’. Mereka risau jika berlaku hujan lebat dan arus kuat, jambatan itu berisiko untuk hanyut,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Menurutnya, situasi itu berlaku kerana perangkap sampah sebelum ini yang berfungsi menahan sampah dari terus ke jambatan sedang dalam proses pembinaan semula.
“Perkara ini, saya terus maklumkan kepada konsultan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan pembersihan segera, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut mengadakan tinjauan di mana terdapat ban yang dilaporkan hanyut apabila air berada di paras tinggi.
“Saya dah maklumkan pada konsultan JPS. Difahamkan masa kerja penambakan ban tu dulu, tak dibuat kerja ‘compaction’ yang betul. Jadi bila air ‘over top’, ban pun tak tahan dan terus rebah.
“Saya juga dah minta konsultan semak balik reka bentuk di kawasan OS6 ni dan bagi cadangan untuk luruskan laluan ban tu, sebab sekarang ni ada selekoh kecil yang mungkin jadi punca tekanan air lebih tinggi.
“Bila air sungai ‘over top’ dari paras ban, air pun mudah masuk ke kebun sawit bila ban tak stabil, itu yang mudah rebah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025











