
RANTAU PANJANG: Sebanyak 11 pos kawalan Tentera Darat Malaysia (TDM) ditempatkan di sepanjang Sungai Golok bagi memperkukuh kawalan sempadan Kelantan-Thailand.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kawalan diperketat terutama sepanjang sambutan Aidilfitri bagi membanteras cubaan penyeludupan yang sering berlaku ketika musim perayaan.
Menurut beliau, penugasan itu melibatkan seramai 18 pegawai dan lebih 300 anggota yang ditugaskan di bawah Op Merpati 8 Briged.
“Setakat ini kita tidak berdepan ancaman besar, namun kesiapsiagaan pegawai dan anggota berada pada tahap yang memuaskan.
“Saya juga mengingatkan mereka agar terus berwaspada kerana kemungkinan ada pihak yang cuba menyeludup barangan atau dadah melalui sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Op Merpati 8 Briged di Pos Tok’O di sini, hari ini.
Katanya, rondaan turut dipertingkat susulan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram.
“Tumpuan diberikan di kawasan panas yang dikenal pasti, termasuk menggunakan dron bagi memantau lokasi sukar dilalui.
“Penggunaan teknologi ini sangat membantu dalam mengesan aktiviti yang mencurigakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan trend penyeludupan di sempadan masih terkawal dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
“Mereka mungkin mengelak daripada mendekati kawasan yang dikawal oleh anggota kita,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025












