
ARAU: Institusi pondok yang sinonim dengan pengajian tradisional Islam suatu ketika dahulu turut berperanan sebagai tempat rujukan utama kepada raja-raja dalam hal ehwal pentadbiran dan agama, jelas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Perkara itu dikongsikan beliau ketika menerima kunjungan ziarah Syawal oleh Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS) bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah di kediamannya di Sanglang, di sini semalam.
Ziarah yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwwah itu turut disertai oleh Pengerusi PMPS, Ustaz Ahmad Marzuki Yusof dan Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abd Rahman.
Juga bersama adalah tokoh ulama negeri Perak yang juga Penasihat PMPS, Tuan Guru Sidek Nor, selain beberapa tokoh pondok dan ulama antaranya Tuan Guru Abdul Raof Othman dari Pondok Padang Durian dan Tuan Guru Ismail Mahmud dari Pondok Charok Tala.
Juga Tuan Guru Baba Abdul Nasir Ghani dari Pondok Permatang Kaka, Tuan Guru Norazman Mohd Nordin dari Pondok Simpor, serta Tuan Guru Helmi Yaakob dari Pondok Rambong.
Dalam suasana yang penuh barakah itu, para tetamu bukan sahaja berpeluang berbuka puasa bersama Tuan Guru Hashim, malah turut diberikan nasihat dan peringatan berharga menyentuh soal pentingnya institusi pondok sebagai wadah tarbiah ummah.
Beliau turut berkongsi pengalaman sewaktu menuntut ilmu di Iraq dan bagaimana pengajian pondok di sana memainkan peranan penting dalam mencorak pemikiran masyarakat serta menjadi tempat rujukan golongan pemerintah.
Menurut beliau, pondok bukan sekadar tempat menuntut ilmu, malah diibaratkan sebagai medan pembersihan jiwa.
Katanya, tidak hairanlah jika dahulu para raja menjadikan ulama pondok sebagai rujukan utama dalam membuat keputusan penting negara.
Maka, dalam menghadapi cabaran semasa, beliau menyeru agar usaha memperkasakan semula pengajian pondok dipertingkatkan demi melahirkan generasi ulama yang berkualiti.
Ziarah ini, menurut Ustaz Ahmad Marzuki, merupakan titik permulaan dalam usaha memperkukuh jaringan ulama serta menghidupkan kembali semangat perjuangan membangunkan daulah Islamiah.
Serta mengangkat teras prinsip amar makruf nahi mungkar, sebagaimana yang digariskan dalam perjuangan Islam sejak zaman silam. – HARAKAHDAILY 7/4/2025













