
BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah pertubuhan yang dikatakan mempromosikan penyatuan semula China dan Taiwan.
Akhir Ramadhan baru-baru ini, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur setelah menerima satu rakaman video mengenai sebuah NGO yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia.
Penulis merasa terganggu dengan kesenduan tindakan pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) tidak sebagaimana sebelum ini.
Sebelum ini pernah terjadi, tindakan pantas PDRM terhadap sebuah restoran di Pulau Pinang yang memaparkan gambar Mao Tze Tung, ikon komunisme negara Tanah Besar China adalah terpuji. Polis juga telah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan bahan propaganda pertubuhan haram dan seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
Ideologi komunis yang diasaskan oleh Karl Marx melalui magnum opusnya Das Kapital dan Manifesto Communist telah merambah ke seluruh dunia. Ideologi ini juga bercambah dengan nilai-nilai baru serta bervariasi dengan luapan idea baru oleh Antonio Gramsci dan lain-lain.
Menyubur dengan pantas dengan terbentuknya kelas cendekia daripada strata rendah masyarakat, jurang lebar kaya miskin, penentangan kepada kelompok feudal dan borjouis serta ketidakpuashatian terhadap norma dan sistem nilai masyarakat sedia ada.
Fahaman ini bukan sekadar merasuk anak muda bukan Islam namun telah berkembang ke seluruh negara umat Islam, termasuk Asia Barat dan rantau sub-continent.
Sejarah tidak melupakan sosok pemuka komunisme bernama Mohd Nur Taraki di Afghanistan yang bersekongkol dengan Soviet Union untuk menjarah tanah Afghanistan. Ulamak-ulamak bangkit menyanggah fahaman ini dengan tulisan-tulisan ilmiah kerana adanya usaha untuk menjustifasikan fahaman ini tidak bercanggah dengan Islam.
Nasib tanah air ini tidak seburuk seperti tanah seberang yang pernah Partai Komunis Indonesia berada di sekeliling elit pemerintah sehingga berlaku Gestapo 1965. PKI di bawah D.N Aidit, Soebandrio dan lain-lain agak mempengaruhi hala tuju Indonesia bahkan memicu berlakunya konfrontasi Malaysia Indonesia pada tahun 1962 -1963. Presiden Soekarno condong kepada Soviet dalam era perang dingin malah merasakan penubuhan Malaysia adalah bidak catur kuasa Barat terutamanya, Britain.
Kader-kader PKI pernah melakukan kekerasan dan pembantaian kepada kaum Muslimin di Indonesia sehingga ratusan ribu telah terkorban, terutamanya para santri dan agamawan. Begitu ketat permusuhan komunis terhadap santri dan ilmuan Islam kerana agama inilah yang berseberangan idea dengan ideologi komunisme.
Pembersihan etnik juga telah melanda Cambodia di era Pol Pot dengan pembunuhan skala besar terhadap umat Islam. Komunis Cambodia lebih ekstrem dalam menangani umat Islam dengan cuba mengubah demografi negara itu, namun cahaya Allah tidak mampu dipadamkan kerana Muslimin terus bangkit terutamanya selepas kejatuhan ideologi tersebut di seluruh dunia.
Ideologi komunis cuba untuk bangkit di Indonesia pasca Mei 1998, namun umat Islam di tanah seberang mengawasinya dengan serius. Mantan perwira negara dengan gerakan rakyat sedar tidak membiarkan anak-anak muda yang tolol mempamerkan apa sahaja lambang PKI pada pakaian dan program-program untuk menghidupkan PKI diawasi malah akan berdepan dengan bentrokan massa jika cuba dilakukan oleh kader-kader PKI dan pseudo komunis.
Pasca Reformasi juga menyaksikan buku-buku doktrin komunisme dicetak dengan meriah di Indonesia, malah seorang tokoh penulis pro komunis, Pramoedya Ananta Toer mendapat royalti yang lumayan kerana buku-buku sastera tulisannya diulang cetak.
Keadaan ini berbeda dengan negara kita. Reinkarnasi komunisme menjalar pasca Mei 2018 dengan kemenangan PH yang ditunjangi oleh DAP. Usaha keras untuk meluluskan geran-geran tanah kepada kampung-kampung baru (Min Yuen), mengubah naratif sejarah melalui komik dan wacana-wacana ilmu, bahkan ramai anggota legislatif daripada DAP mengakui keluarga mereka adalah ahli-ahli Bintang Tiga, anggota MPAJA dan petualang PKM.
Negara ini juga digegerkan dengan isu abu mayat Chin Peng, seolah-olah merestui wasiat Chin Peng, ianya seolah-olah menoreh luka jutaan Muslimin serta rakyat yang cintakan negara.
Isu reinkarnasi komunisme di zaman PH sebelum tersungkur empat tahun lepas begitu tali menali dengan isu-isu lain, di antaranya terkait pula dengan himpunan reunion kader-kader dan penyokong PKM di sebuah kolej swasta di Kajang, semuanya dengan mesej jelas bahawa komunisme mahu diwirakan di tanah air yang menyaksikan keganasan mereka lebih lima dekad.
Ramai mantan prajurit dan perwira negara bangkit menyatakan bantahan namun bantahan ini disepikan oleh kerajaan PH yang didominasi oleh DAP.
Seperti babi yang sifatnya menyondol dan merosakkan kebun yang meranum subur, mereka tidak peduli akan kritikan apabila merasa menggenggam secubit kuasa pasca Mei 2018. Seolah-olah terdapat suatu usaha terancang untuk mengangkat naratif baru sejarah pejuang kemerdekaan.
Segelintir daripada kalangan kelompok penguasa juga antara yang cuba-cuba berani untuk menukar naratif perjuangan kemerdekaan seperti usaha mengiktiraf perjuangan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Elit penguasa berfikrah sosialis ini mahukan rakyat percaya bahawa MPAJA juga adalah pejuang Perang Dunia Kedua, menentang penjajahan negara matahari terbit selama tiga tahun lapan bulan di tanah air ini.
Sejarah perkembangan Partai Komunis Malaya di negara ini berkait rapat dengan perkembangan komunisme di luar negara seperti di Tanah Besar China (PKC). Ideologi komunis disebarkan melalui kesatuan buruh, kesatuan sekerja serta melalui sekolah-sekolah persendirian Cina sehingga British memantau dengan ketat ketiga-tiga elemen tersebut.
Partai Komunis Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 dengan mendapat bantuan dan pengarahan komunis antarabangsa. Terdapat juga segelintir orang Melayu yang berjaya dikaderkan oleh mereka seperti Mokhtaruddin Lasso serta kader komunis Melayu yang datang ke Tanah Melayu untuk merekrut anak watan namun mereka kurang berjaya.
Masyarakat Cina di negara ini agak terdedah dengan pengaruh komunis kerana kemenangan PKC di Tanah Besar China menubuhkan kerajaan republik komunis serta era penjajahan Jepun yang menindas etnik ini (1941-1945).
Pembantaian Sook Ching yang mengorbankan 70,699 orang Cina di Malaya dan Singapura adalah kemuncak pertembungan tajam tentera Jepun ke atas masyarakat Cina. Sejarah etnik Cina di Tanah Melayu yang menentang Jepun disebabkan Jepun mula-mula menakluki Manchuria, bahagian Timur Laut China sebelum meletusnya Perang Dunia II sekitar tahun 1939.
Etnik Cina yang sebahagian besar dilahirkan di Tanah Besar China mempunyai semangat patriotik yang tinggi, menurut Dr Cheah Boon Ken, generasi kedua migran Cina di Malaya mula berpartisipasi dengan fahaman komunis.
Di Tanah Melayu, segelintir orang-orang Cina yang datang sebagai imigran ini ada yg telah kembali ke China untuk bersama rakyat menentang Imperialis Jepun. Kekejaman tentera Jepun terhadap bangsa Cina dan Korea telah menjadi api yang membakar kemarahan etnik Cina di Malaya. Mereka juga telah bertindak, membentuk solidariti dengan menghantar bantuan kewangan untuk menentang imperialisme Jepun.
Kedatangan penjajah Jepun ke Tanah Melayu membuka pintu pembalasan dendam tentera Jepun kepada etnik Cina; ribuan yang mati dibunuh, disiksa, diperkosa. Di Tanah Melayu PKM telah membuka satu front perlawanan rakyat, militia awam atau dikenali pasukan bersenjata Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Kolaborasi PKM dengan British telah berlaku dalam era penindasan Jepun ini, termasuk bantuan risikan, juga sebahagian persenjataan MPAJA telah dibekalkan oleh British sebagai pasukan gerila.
Jepun telah menyerah kalah akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, maka pemerintah tentera Jepun di Tanah Melayu juga telah menyerah kalah dengan acara penyerahan kuasa telah diadakan di perkarangan Victoria Institution Kuala Lumpur. Sebaik saja Jepun menyerah kalah, ejen-ejen komunis telah berpesta pora meraikan kemenangan, masa untuk membalas dendam terutama apa yang disifatkan sebagai talibarut Jepun.
Anggota MPAJA, juga disebut anggota Bintang Tiga telah mengambil kesempatan dalam keadaan vacum power atau kekosongan kuasa di Malaya. Reaksi balas akhirnya berlaku dan menyebabkan pergaduhan kaum di Batu Pahat, Johor; Sungai Manik; Perak dan tempat-tempat lain di Malaya.
Situasi balas dendam, pertembungan kaum, mahkamah rakyat tanpa hak bela diri ini adalah gambaran kerakusan pejuang MPAJA atau Bintang Tiga apabila mendapat segenggam kuasa.
Tempoh kekacauan massa ini berlaku di Tanah Melayu selama 14 hari. Kegawatan ini kembali reda apabila Malayan British Army (MBA) kembali ke Tanah Melayu, mereka cuba membetulkan kondisi kekacauan awam. Tempoh untuk menenangkan orang Melayu seperti yang berlaku di Batu Pahat, Johor akibat kebangkitan gerakan Selempang Merah (Gerakan Kiai Haji Salleh).
MBA mahukan supaya MPAJA dilucutkan senjata yang dibekalkan kepada mereka di era perlawanan dengan Jepun. Namun MPAJA enggan tunduk kepada British dengan hanya menyerahkan sedikit alatan peperangan dan merasakan agenda mereka untuk menegakkan republik komunis belum berakhir, sehinggalah PKM akhirnya menerima arahan komunis antarabangsa untuk melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948.
Darurat yang berlangsung selama 12 tahun sehingga tahun 1960 telah mengorbankan belasan ribu tentera, polis dan rakyat negara ini. Perjuangan PKM di bawah Chin Peng bersambung lagi kerana keengganan mereka meletakkan senjata walaupun mempunyai peluang. Dalam dekad 1960-an dan 70-an tidak sedikit kekacauan digerakkan oleh PKM termasuk membunuh pegawai-pegawai tinggi keselamatan, mengebom Tugu Negara, infiltrasi dalam gerakan mahasiswa, mensabotaj aset negara dan lain-lain kerosakan.
Kerajaan hari ini mesti bertegas membasmi sebarang bentuk reinkarnasi komunisme, tindakan tegas mesti diambil kepada dalang-dalang ini. Jangan menganggap isu debu mayat dan himpunan komrad PKM di Kajang sebagai isu remeh dan usaha bermain politik. Betapa pentingnya kita mempertahankan naratif sejarah Tanah Melayu ini, jika kita leka maka maka generasi baru dan mentah akan disuntik normalisasi terhadap komunisme.
Ada di kalangan pimpinan DAP seperti Ronnie Liu selain bersungguh menyentuh isu-isu umat Islam, juga cuba mengubah naratif sejarah negara ini. Cukup berbangga dengan ahli keluarga mereka yang menjadi anggota komunis maka di manakah maruah keluarga kita yang sebahagiannya adalah anggota keselamatan yang berjuang di hutan menentang komunis?
Jangan lupa komunisme mudah memancing pesona anak muda kerana idea-idea radikal, menolak golongan aristokrat serta penyamarataan kelas sosial. Reinkarnasi komunisme berlaku dalam sedar dan tidak boleh dipandang enteng. Lihat Kesatuan pelajar di kampus yang dipengaruhi secara halus dan kerajaan wajar bertindak seperti Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya pernah dikenakan tindakan dalam dekad 1970-an dahulu.
PDRM jangan lalai dan buat tidak nampak dengan laporan Rais Yatim, berdirilah dengan keyakinan dan megah mendobrak musuh ummah dan negara.
Dahulu, tindakan tegas PDRM terhadap restoran yang mempromosikan wajah sosok komunis telah mengundang kritikan keras daripada ADUN PKR, Gooi Hsiao Leung atas rasional karikatur itu adalah karya seni . Malangnya tindakan tegas PDRM juga diselar oleh Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng yang menyifatkan karikatur itu hanya hiasan. Rakyat boleh menilai sendiri hujjah dangkal pemimpin etnosentrisme ini, komunisme mengintai jalan untuk bangkit semula di banyak negara.
Tiada kompromi dengan anasir ini, ribuan rakyat telah menjadi mangsa sebelum berlakunya gencatan senjata antara PKM dan kerajaan Malaysia. Nampaknya mereka sedang menguji kepekaan rakyat terbanyak, juga menguji hala tuju PDRM era kerajaan Madani. Kalian nampak?
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 7/4/2025











