Kuat kuasa berbeza terhadap penjaja Melayu, kaum lain?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali menzahirkan rasa kecewa atas layanan diterima para peniaga dan penjaja Melayu dalam tindakan-tindakan penguatkuasaan.

- Advertisement -

“Saya nak ingatkan sekali lagi pegawai-pegawai penguat kuasa Melayu. Kalau kamu kena maki hamun dengan peniaga kaum lain, kamu diam aja. Kamu boleh tengok muka dia orang buat tak reti, tak ambil tindakan pun.

“Sampai akhirnya, kalau ambil tindakan pun, yang sangat-sangat lembut, hantar saman saja. Tapi kalau kena puak-puak peniaga penjaja Melayu, terlalu marah, menjerit. Cepat-cepat (kamu) ambil tindakan.

“Sampai ada cekup baju, ambil semua barang-barang penjaja, hempas ke bawah, rentap sampai macam tu sekali,” ujar beliau kepada media berhubung isu kekasaran penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau sebelum itu turut sama hadir memberi sokongan kepada Muhammad Zaimuddin Azlan atau ‘Abang Belon’ membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini semalam.

Isu pemuda itu menjadi tular dari rakaman video yang menunjukkan dia dikasari secara melampau oleh beberapa penguat kuasa DBKL ketika menjaja belon di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pada 28 Mac lalu.

Syed Hasan menempelak para penguat kuasa yang dilihat beliau hanya berani bertindak ke atas para penjaja kecil Melayu, tetapi boleh bersikap bertimbang rasa dengan peniaga bukan Melayu.

“Macam-macam saya dah tengok. Dulu masa nak robohkan satu pagar kuil dekat Setapak. Dah ada notis roboh dan beberapa lama (selepas itu) dah turun dah jentolak semua. Boleh runding pula dengan pegawai-pegawai DBKL. Tunda pula.

“Tapi kalau kena orang Melayu, terus rampas, habis semua orang punya modal sampai tak boleh berniaga,” ujarnya menyatakan perkara seumpama turut berlaku di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

Syed Hasan juga melahirkan rasa pelik kerana tindakan penguatkuasaan seumpama tidak diambil terhadap penjaja-penjaja dalam kalangan pendatang asing berbeza dengan kekecohan terhadap Muhammad Zaimuddin.

“Tak ambil tindakan pun. Setakat pergi ’round’ tutup sekejap, petang buka balik, senang! Ada main ‘kenyit mata’ ke apa, ke dapat ‘habuan’?. Peniaga Melayu tak, peniaga Melayu tak nak bagi habuan ‘under table’,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyuarakan rasa kesal terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kepimpinan Kerajaan Madani terutama Menteri Wilayah Persekutuan yang difahamkannya tidak ada menziarahi Zaimuddin selaku mangsa kejadian.

Kata beliau, itu menunjukkan tiada perasaan simpati langsung ditunjukkan mereka berbanding layanan terhadap isu-isu seumpama, melainkan setahunya setakat dihantar pegawai sahaja menjenguk mangsa.

“Oh, level peniaga penjaja bukan standard Datuk Bandar dengan Menteri Wilayah nak pergi melawat? Kalau kaum lain, tak dipukul pun turun beramai-ramai settle masalah kuil, bagi tanah, bagi lot. Ini peniaga (Melayu) nak cari makan sikit pun tak boleh?” pertikainya.

Sehubungan itu beliau menyeru para penjaja Melayu bersatu menghadapi isu seperti itu dan menggesa pihak polis agar melaksanakan siasatan dan tindakan segera tanpa bertangguh.

Syed Hasan juga menyifatkan para pemimpin kerajaan sekarang hanya membiarkan bangsa sendiri dizalimi sedangkan mereka mementingkan survival politik diri, keluarga dan kroni sahaja. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -