
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani secara terang-terangan bertindak secara tidak demokratik apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil seorang arkitek profesional yang berkongsi pengalaman sebagai pengarah projek dalam projek pengubahsuaian Menara Kuala Lumpur.
Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir berkata, merujuk kepada hantaran Facebook Aidil Khalid, tindakan itu adalah jelas suatu intimidasi (perbuatan menakut-nakutkan) dan serangan terhadap kebebasan bersuara.
Katanya, arahan kehadiran itu jelas bertujuan untuk membungkam suara profesional yang menyampaikan pandangan berdasarkan pengalaman dan fakta.
“Hantaran beliau (pengarah projek) tidak mengandungi sebarang elemen penghinaan, hasutan, mahu pun kebencian terhadap mana-mana pihak.
“Ia bukan retorik politik dan bukan serangan peribadi, sebaliknya hanyalah satu bentuk komen yang adil, dan sewajarnya dibalas dengan fakta, bukan dengan siasatan,” katanya dalam catatan media sosialnya, hari ini.
Nazrul berkata, kerajaan sepatutnya menjunjung prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya tindakan SKMM mencerminkan sikap kerajaan yang semakin tidak toleran terhadap pandangan yang tidak selari dengan naratif rasmi.
“Jika kandungan hantaran tersebut tidak benar, pihak yang dinamakan dalam hantaran tersebut mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil melalui saman fitnah. Itulah ruang yang wajar digunakan, bukan mengheret individu ke kantor pihak berkuasa,” katanya.
Apabila agensi kerajaan dikerahkan untuk menggertak rakyat, katanya ia bukan sahaja menzahirkan penyalahgunaan kuasa, malah menunjukkan betapa rapuh keyakinan kerajaan terhadap keabsahan dasar-dasar sendiri.
“Mesej saya kepada kerajaan, rakyat menolak budaya menakut-nakutkan ini. Rakyat menolak kerajaan yang alah pada kebenaran.
“Rakyat berdiri bersama setiap rakyat Malaysia, baik profesional, pekerja, mahasiswa, mahupun rakyat biasa, yang berani menyatakan yang haq, walaupun tidak digemari dek halwa telinga mereka yang berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2025











