
KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran besar akibat letupan paip gas di kawasan Putra Heights, Puchong yang memusnahkan banyak harta benda dan mencederakan penduduk sekitar mendapat perhatian 10 Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor dari PAS.
ADN Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh yang mewakili ADN berkenaan menyerahkan bantuan kepada Khidmat Malaysia di Bilik Operasi Bencana di Kampung Tengah, Puchong dekat sini, semalam.
Dalam pertemuan itu, Noor Najhan turut membangkitkan perasaan majoriti rakyat negara ini, terutama mangsa yang terjejas mengenai tragedi itu.
“Kita percaya semua pihak, terutama penduduk yang terkesan ingin tahu punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan perlu dibuat dengan segera dan secara terperinci, selain tidak ada ada sebarang fakta yang disembunyikan.
Beliau turut menegaskan bahawa hak penduduk yang terlibat perlu diberikan pembelaan yang sewajarnya.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April lalu, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Secara keseluruhan, insiden itu membabitkan 1,254 orang daripada 308 keluarga dengan 87 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah proses pemeriksaan dilakukan.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 5/4/2025











