Pertahankan semangat Ramadan sepanjang tahun

Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bersama Menteri Besar Kelantan.
- Advertisement -

TUMPAT: Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengajak umat Islam meneruskan amalan mulia yang dilakukan sepanjang Ramadan seperti membaca al-Quran dan bersedekah.

Menurutnya, al-Quran yang diturunkan pada bulan mulia itu tidak dapat dipisahkan dengan Ramadan yang menjadi madrasah mendidik manusia menjadi lebih baik.

- Advertisement -

Katanya, pendidikan yang dilalui ketika Ramadan dapat membentuk keperibadian yang lebih baik selepas itu.

“Ini yang menyebabkan kita mengadakan tadarus al-Quran bersama pimpinan dengan memilih ayat-ayat tertentu bagi membiasakan rakyat membaca al-Quran serta memahami pengertiannya,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di sini, semalam.

Beliau yang juga mantan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, membaca al-Quran serta memahami maksudnya adalah suatu tuntutan yang perlu diamalkan sepanjang masa.

Menurutnya, ada keajaiban berlaku kepada yang membaca al-Quran secara tadabur kerana mampu melaksanakan segala amalan yang baik pada Ramadan.

“Itulah harapan ambo dan pimpinan supaya amalan mulia seperti bersedekah, membaca al-Quran, berbuat baik dan menjaga diri dari melakukan dosa pada Ramadan dapat dikekalkan sepanjang masa sehingga kita bertemu kembali dengan Ramadan akan datang.”

Beliau berharap semangat Ramadan terus hidup dalam diri setiap umat Islam sepanjang tahun. – HARAKAHDAILY 4/4/2025

- Advertisement -