Anak Malaysia: Siasat pencetus tragedi Putra Heights

Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menuntut supaya siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan segera untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian kebakaran akibat kebocoran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Pengerusi Anak Malaysia, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, siasatan perlu melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk Petronas, pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, Anak Malaysia menekankan kepentingan ketelusan dalam proses ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak terlibat.

“Anak Malaysia juga mengesyorkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk supaya siasatan lebih adil dan telus, manakala laporan penuh hasil siasatan itu dikongsi secara terbuka kepada umum.

“Ini penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan jelas mengenai insiden ini serta langkah-langkah yang akan diambil untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Rosharizan yang mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terkesan akibat tragedi juga menuntut tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas tragedi ini.

Menurutnya, pihak terbabit perlu menanggung kos berkaitan trauma emosi, kecederaan, serta kerosakan harta benda yang dialami oleh mangsa.

Katanya, kebertanggungjawaban ini adalah penting untuk memastikan keadilan dan pemulihan kepada semua yang terjejas.

“Kami merayu agar lebih banyak agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta tampil ke hadapan untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

“Bantuan boleh berupa sokongan kewangan, kaunseling, penempatan sementara, dan keperluan asas lain bagi membantu mereka melalui tempoh sukar ini. – HARAKAHDAILY 4/4/2025

- Advertisement -