Tragedi Putra Heights: Muslimat PAS rakam takziah

- Advertisement -

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap semua mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran saluran gas Petronas di Putra HeightS. Kami mendoakan agar semua yang terkesan diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

- Advertisement -

DMPM menyeru pihak berkuasa agar menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap punca kejadian bagi memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan dapat diambil pada masa akan datang. Keselamatan masyarakat harus menjadi keutamaan, dan sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan serta pencegahan kebakaran perlu diberi perhatian serius. Tragedi ini bukan sahaja mendapat perhatian seluruh negara tetapi juga di seluruh dunia.

DMPM juga menggesa agar bantuan kebajikan segera disalurkan kepada semua mangsa yang terjejas. Bantuan ini termasuk keperluan asas seperti tempat perlindungan sementara, makanan, pakaian, serta sokongan psikologi kepada mereka yang mengalami trauma akibat kejadian ini.

Selain itu, penilaian harta dan kerugian yang dialami oleh mangsa perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan mereka mendapat pampasan yang sewajarnya serta bantuan untuk meneruskan kehidupan.

DMPM akan bersedia berusaha bersama-sama badan kebajikan dan pihak berkaitan untuk membantu mangsa yang memerlukan. Semoga Allah SWT memberi ganjaran atas kesabaran mereka dan melindungi kita semua daripada musibah yang tidak diingini.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia

- Advertisement -