Kapitalisme: Idea untungkan tauke, tindas orang miskin

- Advertisement -

KAPITALISME adalah ideologi yang dikaitkan dengan idea-idea Adam Smith. Beliau seorang penganut Liberalisme Klasik, yang menekankan konsep ‘negative liberty’. Negative Liberty adalah doktrin ‘bebas daripada apa sahaja’.

Aliran ini meletakkan teori supaya undang-undang tak boleh ketat sangat, bagi memastikan rakyat bebas daripada apa sahaja. Ini kerana, undang-undang yang ketat akan mengongkong rakyat kata mereka.

Liberalisme Klasik telah melahirkan idea Kapitalisme. Kapitalisme berasal daripada maksud ‘pemodal’. Atau dengan kata lain, menganggap kekayaan negara ada dalam poket taukey-taukey. Golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk berniaga, kerana golongan ini dilihat boleh memajukan negara kononnya.

Kebebasan yang terbabas

Kebebasan berniaga idea Kapitalisme berbentuk keringanan undang-undang ke atas mereka. Pada mulanya hanya dengan maksud ‘membiarkan’. Iaitu biarlah pemodal-pemodal (orang kaya) menggerakkan ekonominya berdasarkan hukum alam semulajadi.

Dalam sejarah, kemunculan Kapitalisme ini setelah ‘dibiarkan’, akhirnya telah mengheret kepada monopoli alat produksi, penguasaan tanah dan sebagainya. Gejala ini akhirnya mengkayakan golongan yang kaya, manakala golongan pekerja atau miskin terus merempat. Hal ini telah mencetuskan kasta.

Kawasan perindustrian dikuasai oleh golongan kaya (tauke). Tanah di pedalaman pula banyak diambil alih daripada pemilik asal untuk diusahakan dalam skala besar. Pemilik tanah hanya menerima upah yang kelihatan lumayan untuk mengusahakan tanah tersebut, manakala hasilnya dibolot oleh orang kaya.

Apabila tanah sudah tiada, generasi baharu mula mencari kerja di kawasan perindustrian. Walaupun dengan upah yang kecil, mereka tiada pilihan. Hal ini meningkatkan kerakusan para tauke sehingga upah yang diberikan tak sepadan, dan menyebabkan penindasan.

Kritikan Sosialisme dan Liberalisme moden

Semasa Kapitalisme meledakkan penindasan mereka, muncul Karl Marx, dengan ideologi barunya, iaitu Sosialisme. Kononnya untuk memperjuangkan hak golongan pekerja. Dasar perjuangan aliran ini adalah menghapuskan monopoli terhadap alat produksi yang dilakukan oleh Kapitalisme.

Pertentangan ini akhirnya membawa kepada pertembungan blok Amerika dan Soviet dalam Perang Dingin 1947-1992. Tumbuh parti-parti yang berideologikan Kapitalisme, dan Sosialisme, bertarung di negara-negara untuk dominasi sistem negara.

Selain Sosialisme, Liberalisme Klasik juga menerima kritikan pedas daripada blok lain dalam Liberalisme. Aliran ini disebut sebagai Liberalisme Moden, yang berteraskan kepada Positive Liberty. Iaitu ‘bebas melakukan apa sahaja’.

Aliran ini membangkang dasar Liberalisme Klasik (Kapitalisme) yang didakwa menyebabkan kongkongan ke atas golongan miskin. Contohnya, apabila para tauke melaksanakan monopoli, akan menyebabkan berlakunya kemiskinan. Menurut mereka, kemiskinan itu sendiri satu bentuk kongkongan.

Pertembungan ini turut melahirkan parti-parti politik, contohnya Parti Republican di Amerika yang berpegang dengan dasar Negative Liberty, manakala Parti Democrat dengan dasar Positive Liberty.

Cadangan Liberalisme moden

Aliran Liberalism Moden (Positive Liberty) mencadangkan agar golongan tauke (Kapitalis) dikenakan cukai, dan disalurkan kepada orang miskin. Tujuannya agar golongan miskin terbebas daripada belenggu kemiskinan mereka.

Ia selaras dengan dasar ‘bebas melakukan apa sahaja’. Ini kerana menurut mereka, orang miskin tak dapat bebas melakukan sesuatu. Dikekang dengan kemiskinan. Sebab itulah mereka mencadangkan percukaian ke atas golongan kaya untuk diberikan kepada orang miskin.

Namun, cadangan ini mendapat tentangan oleh golongan tauke kerana dianggap melanggar hukum alam yang semulajadi. Mereka dialogkan tentang ‘nasib’ masing-masing yang ditentukan oleh diri sendiri. Jika cukai dikenakan kepada golongan tauke, ia akan melanggar undang-undang semulajadi tadi.

Hari ini, Liberalisme klasik telah berkembang menjadi Neo-Liberalisme, dengan dasar pasaran bebas. Dasar ini lebih memeriahkan lagi kekayaan para tauke, berbanding hanya pasaran tempatan semata-mata. Dari sini, tumbuh pula monopoli barang dagangan.

Contoh monopoli barang dagangan ialah apabila lesen import eksport hanya diberikan kepada golongan tertentu sahaja. Pastinya mereka adalah golongan tauke. Ini menjadikan mereka bebas bermain harga, dan mengkayakan diri sendiri.

Oligarki di zaman pragmatisme

Dalam sejarah ringkas ini, kita perlu sedar bahawa ideologi-ideologi ini dijadikan kiblat oleh pihak-pihak tertentu. Dunia demokrasi hari ini telah melahirkan parti-parti politik yang bertarung untuk mengangkat ideologi perjuangan masing masing.

Akibat perkembangan dan percambahan ideologi, melahirkan dunia pragmatisme (makan keliling). Pragmatisme merujuk kepada cara fikir bahawa hasil adalah keutamaan. Untuk mudah faham idea mereka, asal untung, biarpun terpaksa jilat sana sini.

Masing-masing inginkan untung. Golongan Kapitalis sudah pasti inginkan survival periuk nasi mereka terjamin. Lantas Kapitalis pada hari ini ‘mendedak’ para politikus tertentu untuk merangka dasar negara yang menguntungkan mereka. Relasi inilah yang dinamakan Oligarki.

Contoh, kalau mereka nak projek berkaitan tanah, mereka perlu mendedak individu atau parti yang berpotensi menjadi ‘Menteri Besar’. Menteri Besar itu pula, boleh ‘disembang’ agar boleh rangka undang-undang tanah atau kelulusan yang menguntungkan mereka.

Begitu jugalah kalau mereka inginkan projek yang lebih besar di peringkat negara seperti import eksport. Maka, mereka akan mendedak individu atau parti yang berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan boleh disembang untuk merangka dasar yang menguntungkan mereka.

Para politikus pula, turut inginkan pengaruh dan kuasa. Untuk itu, golongan ini pastinya akan bergayut di tali leher para tauke. Ini kerana, mereka berfikir bahawa pengaruh dan kuasa itu tak dapat dinikmati dengan hanya sekadar air liur. Tetapi ia perlukan kepada ‘duit’.

Relasi antara tauke dan politikus

Para tauke dan politikus saling bergayut antara satu sama lain. Masing-masing inginkan kepentingan dan untung. Politikus akan membela tauke, tauke pula akan mendedak politikus. Inilah realiti zaman pragmatisme.

Untuk kekal menjadi superkaya, golongan tauke akan usahakan supaya kerajaan tidak mengongkong mereka dengan undang-undang. Sebaliknya memberi kebebasan, dan membiarkan mereka untuk mengaut segala keuntungan termasuk hasil bumi.

Contohnya memudahkan perlesenan kepada para tauke, membuka laluan yang luas untuk monopoli keperluan rakyat, dan sebagainya, asalkan para tauke tadi hendaklah terus hadiahkan dedak kepada parti yang memerintah.

Sekiranya ada kelompok yang anti-dedak naik menjadi kerajaan, pastinya golongan Kapitalis ini sukar nak kaut kekayaan sebegitu. Lantas, mereka perlu mendedak politikus jahat untuk survival periuk mereka, manakala politikus pula perlukan dedak itu untuk terus berkuasa dengan ‘membeli’ pengaruh rakyat

Negara yang mengutamakan tauke

Sepertimana yang dihuraikan di awal tadi, Negative Liberty yang menjadi dasar Liberalisme Klasik dan Neo Liberalisme akan mengutamakan keinginan para tauke. Undang-undang akan dirangka agar ‘membiarkan’ golongan tauke beraksi sebebas-bebasnya.

Maka, yang terkesan adalah golongan bukan tauke. Orang miskin yang nak berniaga (peniaga kecil) pastinya tertekan dengan dasar negara yang mempraktiskan Kapitalisme, yang mengutamakan para tauke.

Para tauke diberikan kebebasan, tetapi tidak diberikan kepada peniaga kecil. Peniaga kecil tidak dianggap sebagai pemodal yang menguntungkan negara.

Contoh, cukai barang keperluan dikenakan secara samarata kepada semua orang kaya dan miskin (kononnya). Walhal untuk golongan superkaya, tak terkesan pun dengan cukai tersebut. Ini kerana cukai tersebut di’absorb’ oleh pengguna dengan harga yang melambung. Pengguna terpaksa beli walaupun mahal, kerana ia adalah keperluan.

Berbeza dengan peniaga kecil, yang tidak monopoli barang keperluan. Kalau nak jual goreng pisang, mereka terpaksa bayar cukai barangan yang menjadikan harga goreng pisang terpaksa dijual mahal sikit. Pembeli pula terpaksa fikir panjang untuk beli goreng pisang. Manakala peniaga kecil terpaksa try hard untuk survive.

Dasar ini sedikit sebanyak menguntungkan para taukey. Kekayaan yang terkumpul dalam Simpanan Saham Korporat terbeku dalam kantung mereka, dan tidak pula dikenakan cukai.

Penyelesaian Islam

Islam dengan tegas mengharamkan monopoli. Sama ada monopoli tanah, atau barang keperluan.  Dalam situasi percukaian, Islam menetapkan cukai itu hendaklah dibayar oleh orang kaya dan diedar kepada orang miskin.

Nabi SAW bersabda;

تؤخذ من أغنيائهم وترد على فقرائهم

“…. yang dipungut dari orang-orang kaya mereka lalu dikembalikan kepada orang-orang miskin mereka.”

Sekali pandangan semacam cadangan Liberalisme moden, yang ditentang oleh Neo Liberalisme. Namun, hakikatnya berbeza.

Islam berbeza dengan mereka kerana ketetapan tersebut bukanlah sekadar alasan ‘membebaskan rakyat dari belenggu miskin’ sepertimana slogan Liberalisme Moden. Sebaliknya ia lebib daripada itu, iaitu kitaran ekonomi agar ia tidak terbeku dalam kantung golongan kaya sahaja.

FirmanNya;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ ….

“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu….”

Dalam Islam, negara dibangunkan bukan dengan poket para taukey. Sebaliknya ia dibangunkan dengan sistem yang diatur oleh Allah SWT. Negara yang mengikut sistem Allah SWT, akan dilimpahkan rezeki oleh-Nya. Keyakinan ini dianggap oleh puak Sosialisme sebagai khayalan kerana teras mereka sendiri tidak bertuhan.

Pelaksanaan sistem Allah SWT ini akan menjadikan hasil bumi itu dapat dinikmati oleh semua orang, bukan sekadar golongan taukey sahaja. Bahkan, sistem oligarki akan termandul dengan sendirinya, apabila syariat itu diletakkan di hadapan. Ini menjadikan kerajaan yang diangkat bersih daripada pengaruh para taukey.

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) – HARAKAHDAILY 2/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -