Sambut Aidilfitri secara sederhana dan istiqamah

Wan Roslan Wan Hamat (paling kanan) melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Kutan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Umat Islam perlu memenuhi tuntutan agama berhubung cara meraikan kejayaan Aidilfitri selepas beramal ibadah selama sebulan sepanjang Ramadan.

Syawal yang kini diraikan bukan sekadar menandakan Ramadan berakhir, tetapi sebagai simbol kemenangan rohani selepas berjaya menempuh madrasah jiwa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, umat Islam perlu terus beristiqamah dalam beramal ibadah seperti ketika Ramadan.

“Ketika menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan dan kegembiraan, penting bagi umat Islam memahami maksud dan falsafah ‘meraikan kemenangan’ hari raya.

“Semoga kita tidak lupa untuk terus beristiqamah dengan amalan yang dilakukan sepanjang berpuasa ketika Ramadan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kutan, dekat sini semalam.

Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor turut menekankan kepentingan mengeratkan silaturahim melalui amalan kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan.

“Ibu bapa perlu mengajak anak-anak bersama-sama memeriahkan Aidilfitri dengan mengenali sanak saudara jauh dan dekat.

“Sayangnya, apa yang berlaku hari ini, anak-anak kita leka dengan gajet dan menonton siaran televisyen,” katanya.

Beliau berkata, menyambut Aidilfitri berlandaskan Islam dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta meneruskan semangat beribadah selepas Ramadan. – HARAKAHDAILY 1/4/2025

- Advertisement -