Nasib kita letak di tangan kita

- Advertisement -

Mungkin bagi sesetengah pihak ini gambar biasa-biasa. Mengedar bubur lambuk, tradisi umat Melayu di rantau kita sepanjang Ramadan.

Tetapi ini bukan gambar biasa-biasa khasnya bagi mereka yang menghargai dan meletak nilai tinggi pada ikatan ukhuwah dan penyatuan ummah. Bagi mereka yang mendamba melihat umat Melayu ini bersatu atas pertautan aqidah dan kasih pada agama, bangsa dan tanahair, kemesraan dan jalinan persaudaraan sebeginilah yang dirindui. Biar umat Melayu yang puluhan tahun berpecah kerana perbezaan politik ini, disatukan kembali belayar atas bahtera yang sama menuju destinasi yang sama.

- Advertisement -

Ruginya bila kita memilih untuk berseteru dan berpecah hari ini telah kita lihat dengan mata kepala sendiri. Bila kuasa penentu politik dipegang yang lain, bumi dipijak bukan lagi milik kita. Urusan agama dicampuri hak istimewa dikhianati, kemuliaan bertukar menjadi hina, mahu bingkas bangkit malangnya pendayung sudah di tangan lain. Kaduk yang dulunya rendah membumi kini melonjak naik ke langit.

Tetapi tanah bertuah ini tanah kita. Warisan, pusaka nenek moyang rumpun kita. Kita yang berdiri ini masih ramai bilangan, jauh lebih dari mereka. Justeru insaflaah, bangkitlah dari lena yang sekadar menghayalkan tetapi sesungguhnya merugikan ummah. Untunglah secupak dua, dapat jawatan dapat pangkat, hakikatnya rugi bergantang-gantang apabila agama dan bangsa nasibnya ditentukan yang lain.

Kekuatan kita tegak apabila kita bersatu. Menyatukan kembali kekuatan politik, bersama.memohon nikmat persaudaraan dari Nya, agar dikurnia kita persaudaraan yang jitu dan kukuh tempat bersandar dan berteduh bukan sekadar di dunia malah hingga ke akhirat nanti.

Gambar Ramadan baru ini menunjukkan gambar Ketua Cawangan PAS dan Ketua Cawangan Umno, dari komuniti yang sama, yang terus menjalin ikatan ukhuwah walau di atas telah memutuskan hubungan antara dua parti keramat umat Melayu ini.

Yang di atas barangkali tidak sedar, walau mereka telah arah putuskan hubungan, tetapi di sini jauh di bawah di akar umbi, di seluruh Tanah bumi Melayu, air dicincang tidak sesekali mampu putus. Di bawah umat Melayu bosan dan tidak.mahu lagi bermusuh dan berpecah. Mereka kini sedar kemuliaan agama dan bangsa terletak pada penyatuan dan persaudaraan sebagaimana diperintah Yang Maha Esa.

Semoga bahang keinginan untuk bersatu kembali yang dinyalakan umat Melayu di bawah ketika Ramadan lalu terus hangat hingga menyedarkan di atas “Tak Melayu hilang di dunia” kiraanya kita matang, bijak dan.kembali kepada yang satu. Buang yang hapak keruh ambil yang bersilau jernih

Ya Allah campakkanlah kebijaksanaan pada pimpinan kami, kembalikanlah kekuatan pada umat Melayu dengan izin Mu.

2 Syawal 1446

Roslan SMS

- Advertisement -