
APABILA melihat gambar sindiran ini, aku teringatkan banyak isu berkenaan penghinaan yang diberikan kepada warga Pantai Timur semenjak dahulu lagi. Bagi yang masih muda dan mentah, mereka hanya tahu tumpang menghina sahaja, tanpa berusaha memahami kenapa penghinaan ini terus berlaku.
Sebenarnya, bukan sahaja Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang juga terutama yang bercakap slang Terengganu turut terkena tempias hinaan ini. Entah mengapa, jika mahu dibuat bandingan kemajuan, Pantai Baratlah dilihat sebagai segala-galanya.
Malah bagi rakyat Sabah dan Sarawak, ada sebahagian orang di Semenanjung menanggap majoriti mereka masih tinggal di atas pokok. Tidak dinafikan ada kaum di sana yang masih selesa menghuni di hutan, tetapi majoritinya tinggal di bandar dan menjalani kehidupan normal.
Hakikatnya, konsep mencari rezeki tidak semestinya di kampung sendiri. Inilah masalah terbesar golongan yang tidak faham agama. Mereka anggap tempat mereka berkumpulnya rezeki dan menghina sesiapa sahaja yang datang menumpang rezeki Allah terutama yang mana mereka anggap sebagai bukan sebahagian mereka. Jadi sombong.
Rezeki Allah sudah tetapkan. Tiada siapa yang boleh menguasai rezeki. Sebab itu PAS tidak hairan dengan orang yang tidak mahu membantu kerana yang lebih PAS yakin, jika Allah mahu mencukupkan, ia pasti cukup. Lihat sahaja bangunan atau projek yang dilaksanakan oleh PAS. Sangat biasa modal permulaannya ialah air liur sahaja. Duit mana? Duit dalam poket ahli.
Tetapi jutaan nilai bangunan, gaji sukarelawan, program-program yang telah berjaya dijalankan, sama ada menerimanya dari orang kaya terlebih lagi dari khalayak miskin dan lemah. Ini adalah janji Allah, tiada siapa yang boleh menafikannya.
Begitu juga berkenaan pendidikan PAS yang mengutamakan agama dahulu disindir, konon nak makan apa? Sekarang pelajar-pelajar yang dihina itu sudah ramai yang menjadi pemimpin negeri dan usahawan yang kaya. Tetapi tidak pernah menghambat orang luar yang datang ke negeri mereka, malah disambut pula.
Disebabkan PAS menguasai Pantai Timur, maka suara-suara sebegini dimainkan semenjak dahulu lagi. Manakala di Malaysia Timur pula kerana isu geografi dan persepsi yang mereka masih tinggal di hutan. Namun di sebalik semua itu, negeri-negeri maju di Pantai Barat banyak menyedut hasil dari sebelah Timur ini. Sama macam Selatan Thai, Selatan Filipina. Hasil disedut rakyat dan kerajaan tempatan dibuat musuh.
Petroleum terutamanya disedut bagaikan orang gila. Akhirnya negeri pengeluar pula terpaksa mengemis hasilnya. Hasil-hasil hutan yang mana apabila balak ditebang walaupun diperakui Jabatan Hutan dengan anugerah yang diterima, mereka menuduh pembalakan haram oleh Kerajaan Negeri. Tetapi hasil eksport balak itu juga dinikmati pelabuhan-pelabuhan di sebelah Pantai Barat. Tiada pula salahnya.
Manakala perniagaan banyak yang berjaya di sana kerana Pantai Barat menjadi tumpuan dari hasil sumber alam dari Timur yang banyak diniagakan mereka. Akhirnya, fasiliti di sebelah Timur, jauh ketinggalan kerana menumpukan kegiatan yang rancak di sebelah barat walaupun membaham duit royalti minyak dari Timur. Begitulah.
Hal ini tidak disedari oleh mereka yang suka menghina orang kerana keluar mencari rezeki atau terpaksa mengikut keluarga atau terpaksa bekerja di luar Pantai Timur kerana arahan tugas atau kerana melanjutkan pelajaran. Ada banyak alasan untuk meninggalkan kampung halaman, yang mungkin sementara atau kekal. Mereka akan diam jika memahami konsep rezeki itu, Allah yang atur. Bukan rezeki ini semua datang dari mak bapak mereka.
Apakah tiada seorangpun rakyat Pantai Barat terpaksa keluar dari negeri mereka ataupun kalau tinggal di sana mereka terpaksa merempat? Oh lupa, untuk seminggu ini, makan mi segeralah dahulu. Tom yam, sup, ikan tiga rasa semua itu, tunggu minggu depan, lepas raya.
MOHD NASIR ABDULLAH
30 Mac 2025
*Gambar diambil dari FB – HARAKAHDAILY 30/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.














