
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan akan mengalami hujan dan ribut petir pada cuti Aidilfitri yang disambut esok dan lusa.
Menurut MetMalaysia, cuaca tidak menentu dijangka berlaku pada 31 Mac dan 1 April, melibatkan hujan serta ribut petir pada pagi, petang dan malam di beberapa negeri.
“Pada pagi 31 Mac, hujan dan ribut petir dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Sarawak (Sarikei dan Mukah).
“Manakala pada pagi 1 April, keadaan serupa diramalkan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta bahagian barat Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan dan ribut petir akan melanda lebih banyak kawasan pada sebelah petang.
Menurutnya, sebanyak 10 negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami cuaca tersebut pada 31 Mac.
“Pada 1 April, ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
“Pada waktu malam, hujan serta ribut petir diramal melanda Pahang dan Sabah (Tawau) pada 31 Mac, sementara Terengganu, Pahang serta Sabah (Sandakan dan Tawau) dijangka mengalami keadaan yang sama pada 1 April,” jelasnya.
Bagaimanapun, MetMalaysia memaklumkan tiada sebarang amaran waspada atau ribut berbahaya dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Malaysia kini jelasnya berada dalam fasa Monsun Peralihan yang dijangka berterusan sehingga Mei sebelum memasuki Monsun Barat Daya.
“Fasa peralihan ini dicirikan dengan hujan lebat serta ribut petir pada waktu petang hingga awal malam, khususnya di kawasan Barat Semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Hujan lebat beserta angin kencang boleh berlaku di mana-mana kawasan yang terlibat pada waktu petang tetapi bersifat sementara,” katanya.
Setakat ini tambahnya, tiada perubahan dalam ramalan cuaca bagi tiga hari berikutnya, termasuk pada Aidilfitri.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca. – HARAKAHDAILY 30/3/2025











