Khidmat Malaysia seru kesedaran hadapi risiko gempa

Susulan gempa bumi di Myanmar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyeru semua pihak agar meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan menghadapi risiko gempa bumi susulan bencana yang melanda Myanmar kelmarin.

Beliau berkata, gempa bumi berkekuatan 7.7 magnitud yang mengorbankan lebih 1,600 nyawa di Myanmar serta berpotensi meningkat kepada 10,000 korban, memberi peringatan penting kepada Malaysia mengenai ancaman bencana alam.

“Telah dilaporkan juga kesan gegaran tersebut dapat dirasai di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ia sudah tentu menjadi satu tanda aras supaya usaha untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan dan kesiapsiagaan rakyat Malaysia untuk lebih bersedia menghadapi bencana gempa bumi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa pakar seismologi, Prof Dr Azlan Adnan, sebelum ini telah menyatakan kemungkinan gempa bumi dengan magnitud sehingga 9.5 berlaku di Malaysia.

Khidmat Malaysia katanya, telah mula memberi perhatian serius terhadap isu ini sejak tahun 2023, termasuk mengadakan pertemuan dengan pakar kajian gempa bumi bagi mendalami ilmu serta langkah kesiapsiagaan.

“Apa yang penting, perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak; kerajaan dan rakyat Malaysia. Semoga Allah menjauhkan negara kita dari bencana yang kesannya sudah tentu menakutkan,” katanya.

Gempa bumi terbesar dalam tempoh satu abad di Myanmar telah memusnahkan pelbagai prasarana di negara itu, dengan sekurang-kurangnya 2,970 rumah, 150 pusat ibadah, 30 jalan raya dan tujuh jambatan mengalami kerosakan teruk atau musnah.

Pertubuhan Islam Myanmar melaporkan bahawa 50 masjid turut musnah dalam kejadian yang berlaku ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat.

Junta Myanmar pula memaklumkan sebanyak 670 biara Buddha dan 290 Pagoda Buddha mengalami kerosakan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan empangan di Sungai Irrawaddy mengalami kerosakan dan berisiko pecah, yang boleh menjejaskan 18.5 juta penduduk di kawasan berhampiran bandar Sagaing.

Kawasan itu dilanda dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 6.4 magnitud.

Gempa turut dirasai di negara jiran Thailand, dengan gegaran menyebabkan sebuah pencakar langit yang masih dalam pembinaan di Bangkok runtuh.

Insiden itu mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan kematian dan 81 orang terperangkap di bawah runtuhan. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -