PAS Pahang ucap tahniah kepada mufti baharu Syria

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada Al-Allamah Syeikh Usamah Rifaie, seorang tokoh bermazhab Syafie serta berakidah Asyairah atas pelantikan beliau sebagai Mufti Syria yang baharu.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, pelantikan Syeikh Usamah merupakan satu perkembangan positif bagi dunia Islam memandangkan beliau juga dikenali sebagai ulama sufi berketurunan Ahli Bait.

Menurutnya, Syeikh Usamah memiliki pendekatan yang sederhana dalam beragama dengan menerima tasawwuf, namun menolak sebarang bentuk penyelewengan dalam amalan tersebut.

Selain itu jelasnya, beliau juga berpegang kepada akidah Asyairah tanpa menghukum sesat golongan Salafi, walaupun tidak bersetuju dengan sebahagian daripada mereka yang mudah mengkafirkan dan membid’ahkan orang lain.

“(Beliau) Bermazhab Syafie, namun menerima bahkan mentarjih mazhab lain yang muktabar di dalam beberapa masalah berdasarkan dalil dan waqi’ (perkembangan) semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyifatkan Syeikh Usamah sebagai seorang ulama yang sangat prihatin terhadap perkembangan politik dunia Islam dan tidak tunduk kepada tekanan kerajaan yang menyalahi syariat.

Malah katanya, Syeikh Usamah sering menjadi sasaran pihak berkuasa kerana lantang menegur kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dengan beliau ketika kunjungannya ke Kuantan dan Maahad Tahfiz Darul Fikri. Saya juga sempat menerima taujihat berharga daripada beliau,” katanya.

Dato’ Ustaz Rosli turut mendoakan agar Syeikh Usamah diberikan taufik dan kekuatan dalam menjalankan tugasnya sebagai Mufti Syria. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -