Gempa bumi Myanmar: PASRelief seru bantuan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menyeru rakyat Malaysia menghulurkan bantuan segera kepada mangsa gempa bumi di Myanmar selepas negara itu digegarkan dengan bencana berukuran 7.7 magnitud pada 28 Mac kelmarin.

Dalam kenyataan PASRelief, gempa bumi tersebut telah mengakibatkan kemusnahan besar dan kehilangan ratusan nyawa, dengan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal serta memerlukan bantuan segera.

Menurut Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, sekurang-kurangnya 144 orang dilaporkan maut dan 732 cedera dengan Nay Pyi Taw dilaporkan mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 96 korban, diikuti oleh Sagaing (18) dan Kyaukse (30).

“Gempa bumi ini telah memusnahkan banyak rumah, bangunan serta infrastruktur utama, termasuk hospital yang kini berdepan cabaran besar untuk merawat mangsa.

“Pintu masuk jabatan kecemasan runtuh, menyebabkan petugas kesihatan terpaksa merawat pesakit dalam keadaan serba kekurangan di luar bangunan,” kata kenyataan PASRelief.

Sehubungan itu, PASRelief mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu saudara-saudara di Myanmar yang sedang menghadapi detik sukar itu.

“Bersama kita ringankan penderitaan mereka. Hulurkan sumbangan prihatin anda melalui https://infaqpay.my/plus/gempa-bumi-myanmar-pasrelief.

“Atau terus ke akaun Maybank Islamic – PASRelief: 5640-7061-2333. Hotline PASRelief: http://www.wasap.my/60175001144/,” kata PASRelief. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -