
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membuat penjelasan berhubung video tular memaparkan penjual belon yang dikasari oleh penguat kuasa, malam tadi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, penjelasan wajib diberikan susulan video pendek yang tular itu tidak boleh menceritakan semua sudut secara adil.
“Wajarkah tindakan sekeras itu untuk seorang penjual belon di tepi jalan? Jangan nanti orang berkata, orang kecil yang tidak berlesen seperti ini dikasari, ‘orang besar’ tidak berlesen ditatang setinggi-tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) itu pada awalnya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu.
Suasana walau bagaimanapun bertukar menjadi kecoh selepas peniaga itu dikasari oleh sekumpulan penguat kuasa DBKL termasuk kakitangan dipercayai berpakaian awam sehingga terjatuh dan berguling di atas jalan raya.
Rata-rata warga maya yang melihat video itu melahirkan rasa kecewa dan sedih berhubung insiden menimpa peniaga belon itu, sambil menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.
Brader Noh menerusi laman Facebook menulis “Ramai rupanya penguat kuasa DBKL, ingatkan cuma ada lima ke enam orang je. Selama ini apa yg di buat di Pasar Borong sehingga di kuasai oleh warga asing?”
Sementara Azmi Atan pula menulis “Melampau sangat dah ni. Bayangkan. Jual belon je, bukan mercun. Bukan barangan tiruan. Bukan vape. Bukan dadah atau ganja.” – HARAKAHDAILY 29/3/2025











