
KUALA KRAI: Sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning yang mengalami kerosakan akibat masalah pam minyak menjadi kenderaan pertama ditolong Skuad Bantu Kuala Krai.
Skuad berkenaan segera menghulurkan bantuan dengan menggerakkan pasukan AF Towing ke lokasi kejadian di Jalan Gua Musang-Kuala Krai jam 8:12 pagi semalam.
Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, khidmat ini adalah pertama menerusi Skuad Bantu Kuala Krai yang diwujudkan khususnya ketika musim perayaan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan berkata, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pasir Mas sebelum mengalami kerosakan.
“Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pemandu, Myvi berkenaan ditunda ke Bilik Operasi Skuad Bantu untuk dibaiki oleh juruteknik bertugas.
“Sementara menunggu kerja baik pulih selesai, pemilik kenderaan turut diberikan ruang untuk berehat di Bilik Operasi Skuad Bantu yang dibuka oleh NGO Barracuda/Lacar Group,” ujarnya.
Beliau berkata, Skuad Bantu Kuala Krai terus komited dalam menyediakan bantuan kecemasan kepada perantau yang menghadapi kesulitan di jalan raya.
Katanya, Skuad Bantu Kuala Krai sedia menghulurkan bantuan kecemasan kepada anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman di negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, bantuan tersebut melibatkan kereta atau kenderaan rosak, pancit dan kemalangan kecil yang memulakan perkhidmatan bermula Jumaat dan berakhir pada Ahad iaitu pagi Hari Raya Aidilfitri.
“Ini adalah tahun ke-9 operasi Skuad Bantu melibatkan gabungan khidmat para sukarelawan seluruh Kuala Krai.
“Kawasan operasi melibatkan kawasan sekitar jajahan ini bermula dari Dabong, Manik Urai, Guchil dan Telekong selain Jalan Jeli-Tanah Merah serta Machang,” katanya lagi.
Hilmi turut melaporkan, satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah motokar berlaku sekitar jam 2:40 pagi di Cabang Kilang, Kampung Belanga, di sini awal pagi semalam.
Menurut laporan katanya, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan serius, dengan tangan kanan dan kaki kirinya patah.
Mangsa segera dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, untuk menerima rawatan lanjut.
Beliau mengingatkan orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memandu, terutama di simpang-simpang sepanjang jalan Kuala Krai-Gua Musang, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – HARAKAHDAILY 29/3/2025












