
KOTA BHARU: Yayasan PETRONAS telah menyantuni 400 keluarga kurang berkemampuan di Kelantan dengan mengagihkan pek perayaan berupa bakul makanan.
Sumbangan berkenaan disalurkan untuk meringankan beban mereka sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, agihan itu melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha untuk membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang lebaran.
“Setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, kari ayam dalam tin, gula, garam, serbuk minuman coklat dan teh.
“Selain itu, mereka turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2025 dan Majlis Berbuka Puasa PETRONAS di sebuah hotel di sini petang kelmarin.
Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembngunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim bagi mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.
Ahmad Shazly turut memberitahu, Yayasan PETRONAS juga menyampaikan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar).
Usaha itu, tambahnya, sebagai salah satu daripada usaha PETRONAS membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan industri kecil dan sederhana.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan membawa kegembiraan sempena Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, Rohani ketika berucap pada majlis berkenaan memuji langkah Yayasan PETRONAS yang turut memainkan peranan dalam membantu golong asnaf.
Menurutnya, berkongsi rezeki adalah dituntut oleh agama.
“Dalam rezeki kita ada hak orang lain,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/3/2025











