Rai anak-anak yatim iftar di Menara Alor Setar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengalaman berbuka puasa di Menara Alor Setar, tentu akan menjadi kenangan kepada lebih daripada 50 orang anak-anak yatim yang diraikan di situ.

- Advertisement -

Mereka merupakan anak-anak yatim sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dan Sungai Limau yang dibawa khas ke sana untuk merasai kelainan berbuka puasa di menara tersebut.

Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dua DUN berkenaan dan Yayasan Telekom Malaysia, dihadiri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan ADUN Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat.

“Pengalaman ini merupakan yang baharu bagi kebanyakan mereka dan masing-masing kelihatan sangat gembira dan ceria dapat berada di menara ini,” kata Baddrol.

Tetapi ujarnya, apa yang lebih besar daripada itu, dapat menyemai kasih sayang dan kepedulian terhadap anak-anak yatim, agar mereka turut merasakan kehangatan dan kebahagiaan menjelang Syawal.

Pada majlis itu, anak-anak yatim tersebut turut menerima duit raya.

Selepas berbuka puasa, anak-anak yatim berkenaan dibawa sekitar menara berkenaan untuk menikmati keindahan Bandar Raya Alor Setar di waktu malam dan mengabadikan kenangan bersama. – HARAKAHDAILY 28/3/2025

- Advertisement -