PAS anjur himpunan bebaskan Masjid Al-Aqsa, merdekakan Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menganjurkan satu himpunan besar-besaran di seluruh negara pada hari ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan kemerdekaan Palestin.

Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS menyatakan bahawa himpunan ini diadakan sama ada sebelum atau sejurus selepas solat Jumaat dan disertai oleh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penindasan berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam kenyataannya menegaskan bahawa dunia kini sedang menyaksikan ketegangan yang melampau, di mana umat Islam diuji sama ada untuk terus istiqamah bersama Islam atau tunduk kepada tekanan normalisasi dengan Zionis.

Beliau turut mengecam tindakan Amerika Syarikat yang secara terbuka menyokong Zionis dengan membekalkan senjata pemusnah, serta sikap hipokrit negara-negara Barat yang melabel Palestin dan penyokongnya sebagai pengganas.

“Pihak Zionis dan sekutunya melancarkan serangan, termasuklah terhadap sasaran awam sehingga membunuh semua penduduk, bukan sahaja sasaran tentera. Mereka juga melancarkan serangan ganas yang melampau tanpa sempadan kemanusiaan dan alam sekitar atas nama keamanan,” tegas beliau.

Justeru itu, PAS menyeru seluruh umat Islam untuk terus berdiri teguh dalam perjuangan membela rakyat Palestin serta mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis. Himpunan ini bukan sekadar simbol solidariti, tetapi satu mesej tegas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku. – HARAKAHDAILY 28/3/2025

- Advertisement -