
KUALA KRAI: Kelantan merekodkan sebanyak 13,397 kes kemalangan sepanjang tahun 2024 dengan 340 kematian, 220 cedera parah dan 1,349 cedera ringan.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 sahaja, sebanyak 2,082 kes kemalangan telah dicatatkan di negeri ini, menyebabkan 43 kematian, 10 cedera parah dan 135 cedera ringan.
Statistik ini amat membimbangkan kerana 70 peratus daripada jumlah kemalangan melibatkan individu berumur bawah 40 tahun, sekali gus memberi kesan besar kepada keluarga dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 1446H dan Pelancaran Operasi Skuad Bantu 2025 diadakan pagi semalam bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan mengurangkan angka kemalangan.
Majlis pelancaran berlangsung di hadapan Pejabat JPAM Kuala Krai dengan kehadiran Ahli Parlimen Kuala Krai, ADUN Manek Urai, ADUN Mengkebang, Ketua Jajahan Kuala Krai, Ketua Polis Daerah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Kelantan, Hilmi Abdullah, jumlah kemalangan yang tinggi ini menuntut semua pihak untuk lebih serius dalam menangani isu keselamatan jalan raya.
“Kelantan terus mencatatkan angka kemalangan yang membimbangkan setiap tahun.
“Kemalangan bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi juga menjejaskan kehidupan ahli keluarga mangsa, khususnya mereka yang kehilangan pencari nafkah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah pencegahan seperti pematuhan had laju, penggunaan tali pinggang keledar dan pemakaian topi keledar yang betul perlu diberi perhatian serius oleh semua pengguna jalan raya.
“Kita mahu mengurangkan angka kemalangan dan kematian, terutama menjelang musim perayaan ini. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan agar kesedaran ini dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Selain kempen kesedaran berkenaan, turut dilancarkan ialah Operasi Skuad Bantu 2025 bagi membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah sepanjang perjalanan pulang ke kampung.
Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat melaksanakan operasi berkenaan antaranya Taskforce Kuala Krai – Unit Bantu, Barracuda Adventure Team, Lacar Group, Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai.
Juga Kembara BAT Supporter, Team Zeck Zoro, Jembal 2 Towing, AP Towing, Team Aiman Norsi, Team Hamdan Mahadi Cobra, Team Eizad Grab serta sukarelawan dari Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.
Operasi ini akan bermula pada 28 Mac dan berakhir pada 1 Syawal 1446H.
“Jika kenderaan anda mengalami masalah dalam perjalanan, sila hubungi kami. Insya-Allah, kami akan membantu dan memastikan anda selamat tiba di kampung halaman sebelum bergemanya takbir raya,” ujar Hilmi.
Berikut adalah talian hotline Skuad Bantu:
• Kanda Idi Task Force: 011-11001091
• Kanda Fadhir Barracuda: 010-9090555
• Yoe Lacar Group: 019-9394886 – HARAKAHDAILY 28/3/2025











