Wan Badariah hargai pengorbanan pasukan polis

- Advertisement -

KANGAR: Sempena sambutan Hari Polis ke-218 pada 25 Mac lalu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad, menghantar bunga sebagai tanda penghargaan kepada petugas keselamatan di negeri ini, semalam.

- Advertisement -

Penghantaran bunga tersebut melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, IPD Kangar, IPD Padang Besar, serta Balai Polis Mata Ayer.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, pemberian bunga itu adalah tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.

“Kita mahu mereka tahu bahawa masyarakat menghargai pengorbanan mereka. Setiap hari mereka bertugas memastikan keselamatan kita semua,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini adalah kesinambungan kepada usaha sebelum ini dalam menghargai pasukan polis.

“Tahun lepas kita bagi kek. Tahun ini bunga pula. Insya-Allah, tahun-tahun akan datang kita akan terus tunjukkan penghargaan dengan pelbagai cara,” ujarnya.

Hari Polis Malaysia disambut pada 25 Mac setiap tahun untuk memperingati penubuhan pasukan polis dan menghargai sumbangan mereka dalam menjaga keamanan negara.

Pada tahun ini, sambutan menandakan ulang tahun ke-218 penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam sejak penubuhannya pada 25 Mac 1807. – HARAKAHDAILY 28/3/2025

- Advertisement -