Serangan propaganda kepada pemimpin PAS sekadar peluru palsu

Gambar banner lama dikitar semula

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ahmad Fahmi Mokhtar menafikan dakwaan bahawa wujud desakan dalaman terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) untuk meletakkan jawatan. 

Menurutnya, isu banner yang dikatakan menggesa peletakan jawatan Dr Sam hanyalah propaganda pihak tertentu dan bukan berkaitan dengan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

“Lebih melucukan ada penganalisa politik membuat penyataan ini mungkin kerana isu pemilihan dalam PAS. Menggambar pertembungan dua kem dalam PAS.

- Advertisement -



“Seolah-olah banner tu dinaikkan sendiri oleh ahli PAS sebagai desakan dalaman sempena pemilihan parti bulan 9 nanti. Sedap molek ulas. Huhu. Sangatlah jauh tuan-tuan tersimpang dan meneka-neka dalam kedunguan,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau turut menempelak dakwaan bahawa isu bonus raya menjadi punca kepada kemunculan banner berkenaan, dengan menegaskan bahawa bonus tersebut sepatutnya datang daripada wang royalti minyak Terengganu yang disekat. 

“Ada penulis yang meneka ini kerana rakyat lihat Dr Sam gagal dalam isu pemberian bonus raya hingga terpaksa dibiayai oleh Persekutuan. Isu bonus raya sudah kita jelaskan panjang, pendeknya itu royalti Terengganu yang disekat,” katanya. 

Tambah Ahmad Fahmi, gambar banner yang tular itu juga bukanlah gambar baharu, sebaliknya gambar lama yang telah dimanipulasi. 

“Wahai walanon (penyokong Kerajaan PH), ketahui gambar banner itu gambar lama. Manhattan Fish Market dan Insaff Travel yang ada di belakang banner itu telah pun tiada di situ saat ini.

“Insaff Travel telah berpindah 9 bulan lalu ke pejabat lain, Manhattan pula dah ditutup lebih awal daripada itu.

“Jadi ketahuilah para penulis dan penganalisa kalian telah ditipu oleh satu gambar lama, yang kalian ulas penuh mulut semacam ianya benda yang sedang terjadi,” katanya. 

Beliau turut mencabar pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut untuk turun sendiri ke lokasi bagi membuktikan kesahihan gambar digunakan. 

“Tak malukah? Kalau dok caya, cer gi kat Ladang, ambik gambar kedai mende yang ada sekarang kat sana.

“Kiri kanan depan belakang duk serang Dr Sam ini kenapa? Serang pulak guna peluru palsu, bonus raya palsu, desakan dalaman palsu,” katanya.  – HARAKAHDAILY 28/3/2025

- Advertisement -