
PADANG BESAR: Seorang pesakit dari Kampung Lubuk Machang di sini mendapat manfaat daripada inisiatif wakaf peralatan kesihatan yang diwujudkan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi.
Mazlinawati Awang, 45, sebelum ini terpaksa menyewa alat bantuan pernafasan dari syarikat swasta dengan kadar RM250 sebulan.
Namun, dengan adanya pusat wakaf kesihatan Parlimen Padang Besar, beliau kini boleh meminjam peralatan itu tanpa perlu membayar sewa, dan hanya perlu memulangkannya setelah pulih.
Menurut Rushdan, pejabatnya memang menyediakan peralatan kesihatan bagi membantu golongan yang memerlukan, seiring usaha membangunkan pusat wakaf peralatan kesihatan untuk masyarakat setempat.
“Ini satu inisiatif bagi meringankan beban pesakit yang memerlukan peralatan kesihatan tetapi tidak mampu menyewa atau membeli sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.
Mazlinawati, yang tinggal bersama suami dan seorang anak, meluahkan rasa syukur atas bantuan tersebut, yang disifatkannya sebagai satu kelegaan besar buat keluarganya. – HARAKAHDAILY 28/3/2025











