
SUNGAI PETANI: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat sebuah persatuan yang dikaitkan dengan penyebaran fahaman komunis dan promosi konsep ‘Satu China’ di Malaysia.
Desakan itu dibuat selepas PERKASA Kedah mengemukakan dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 26 Mac kelmarin terhadap video tular yang memaparkan persatuan itu.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, kandungan video itu berpotensi mengancam kedaulatan negara dan bertentangan dengan dasar Malaysia yang menolak sebarang unsur komunisme.
“PERKASA Kedah mengecam seruan yang dimuat naik di dalam video ini kerana ia boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara Malaysia yang menolak segala anasir dan fahaman komunis dari dibawa masuk ke dalam negara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha untuk membawa masuk ideologi komunis ke Malaysia harus ditangani dengan serius bagi mengelakkan sejarah hitam negara berulang.
Justeru, PERKASA Kedah juga menggesa pihak berkuasa kerajaan terutama PDRM untuk segera menyiasat dakwaan persatuan itu dan tindakan serta hukuman berat wajib diambil apabila melibatkan isu kedaulatan Malaysia.
Sebelum itu, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, turut membuat laporan polis terhadap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai menyebarkan fahaman komunis di negara ini. – HARAKAHDAILY 28/3/2025











