DUN Semenyih catat sejarah eratkan persefahaman

Nushi bersama pemimpin yang menghadiri Majlis Dialog dan Ramah Mesra anjuran Pusat Khidmat DUN Semenyih.
- Advertisement -

SEMENYIH: Ketika dunia semakin terbahagi, dihimpit prasangka dan dihasut agenda perpecahan, kawasan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan satu detik kecil yang membawa harapan besar.

Ini menjadi kenyataan apabila hampir 20 pemimpin berbilang agama dan latar masyarakat duduk bersama untuk saling mendengar dan memahami dalam Majlis Dialog dan Ramah Mesra anjuran Pusat Khidmat DUN Semenyih di sini.

- Advertisement -

Antara yang hadir termasuk Pengerusi Gabungan Gereja seluruh Langat, Pengerusi Persatuan Penganut Dewa Yu Huang, Pengerusi Persatuan Penganut Dewa Mausan, Pengerusi Hindu Sangam Semenyih, Pengerusi Persatuan Penganut Devi Shree Karumariamman Ladang Semenyih, serta wakil dari Pertubuhan Tamilar Seva Sangam Malaysia, Kuil Siva Subramaniar Semenyih dan Persatuan Desa Amal Jireh.

Majlis turut disertai pelbagai organisasi komuniti, pendidikan dan media seperti Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai Selangor, Persatuan Pemandu Teksi Hulu Langat, media Tamil, Indusangam Semenyih, Tiara East dan Unicorn Learning Skills Academy yang menyempurnakan kepelbagaian suara yang dirai dalam majlis ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, majlis itu menjadi langkah berani untuk merawat retak dan membina jambatan persefahaman ketika orang ramai lebih selesa membina tembok dan melebarkan jurang.

Katanya, majlis bermula dengan sesi perkenalan yang kelihatan biasa, tapi kesannya luar biasa kerana setiap nama yang disebut, setiap rumah ibadat yang diwakili, membawa sejarah dan emosi komunitinya.

“Sesi dialog berlangsung dengan jujur, namun penuh tertib dan adab. Ada yang mengajukan soalan, ada yang melontar pandangan, tetapi semua dalam suasana saling menghormati.

“Ramai menyatakan ini pengalaman pertama mereka dijemput bukan sebagai penonton, tetapi sebagai rakan bicara.

“Malah, mereka gembira dapat berbuka puasa bersama, sambil menerima risalah mengenai Ramadan dalam bahasa Tamil dan Mandarin,” katanya dalam catatan media sosialnya.

Nushi yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, program ini turut disokong Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Hulu Langat, selain Yang Dipertua, Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat yang memberi dokongan menjelmakan semangat #PASforAll yang diperjuangkan.

Beliau berkata, perpaduan tumbuh apabila kita fokus pada nilai dan matlamat yang dikongsi.

“Ia mengakar saat wujud kesediaan untuk saling memberi ruang, saling memahami, dan menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada perjalanan yang dikongsi bersama. Semalam, Semenyih membuktikan, apabila kita saling mendengar dan memahami, harmoni bukan suatu utopia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2025

- Advertisement -