
SEMENYIH: “Penyatuan tidak lahir dari slogan. Ia tumbuh daripada keberanian untuk duduk semeja, saling percaya, dan bergerak bersama.”
Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata demikian ketika menghadiri program Iftar Bersama Pemimpin Gerakan Islam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Malam tadi, saya menyaksikan satu detik yang membaharui optimisme saya terhadap masa depan Islam, iaitu apabila lebih daripada 20 wakil NGO dan gerakan Islam dari pelbagai latar hadir dalam majlis iftar kami yang sederhana, namun sarat makna.
“Kami duduk bersama, berdialog dalam semangat terbuka, dan menyuarakan hasrat yang sama iaitu mahu melihat Islam tertegak dalam masyarakat secara tersusun, bersepadu dan matang,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial.
Nushi berkata, antara yang hadir memberi sokongan termasuk wakil dari IKRAM, ISMA, ABIM, HALUAN, PERKID, MAPIM, GAMIS, Cinta Syria Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Muslim Putra Mahkota, Halwanis serta wakil Tabligh.
Katanya, kesudian pihak berkenaa meluangkan masa bersama Pusat Khidmat ADN Semenyih bukan sesuatu yang kecil, malah sebagai tanda kepercayaan yang amat dihargai.
“Majlis ini bukan sekadar jamuan berbuka. Ia dirancang untuk memperkukuh jaringan ukhuwah, membuka ruang dialog yang jujur dan membina, serta menjadikan PAS lebih dekat dengan masyarakat dalam suasana yang harmoni dan inklusif.
“Kita pernah menghimpunkan NGO-NGO Islam sepentas dalam program Solidariti Palestin sebelum ini.
“Namun kali ini terasa lebih bermakna, kerana kita berpeluang duduk semeja, beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain secara lebih dekat,” ujarnya.
Beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat berkata, kehadiran NGO berkenaan memberi isyarat yang jelas, iaitu penyatuan ummah bukan lagi wacana kosong, tetapi sedang diusahakan bersama, secara konkrit dan bersungguh-sungguh.

“Saya terkesan apabila Presiden PERKID, Masridzi Sat ada menyebut ‘macam ni lah PAS nak pergi jauh. Perlu ada jaringan. Jangan pandang ringan kekuatan NGO’.
“Pempengaruh dan Aktivis Kemanusiaan, Musa Nuwayri turut hadir memberi sokongan dan pandangan yang membina. Beliau menyarankan agar konsep iftar – dialog seperti ini diperluaskan ke seluruh negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nushi turut berkata program ini tentu tidak akan berjaya tanpa usaha keras pasukan urusetia.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini dengan penuh amanah.
“Turut saya raikan kehadiran Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat dan Setiausaha PAS Kawasan, yang sudi bersama menyantuni majlis ini dari awal hingga akhir.
“Semoga majlis anjuran Pusat Khidmat ADN Semenyih ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih tersusun, demi masa depan Islam yang lebih terarah dan penuh izzah,” katanya – HARAKAHDAILY 28/3/2025











