Pertimbang syor Majlis Negara Kerajaan Tempatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan dijangka membuat pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) dalam beberapa perkara.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dinilai sebuah Jawatankuasa Kecil Kerajaan Tempatan (JKKT) Negeri Kelantan.

Beliau berkata satu mesyuarat JKKT turut diadakan dengan melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu selain agensi dan jabatan persekutuan bagi membuat penelitian.

“Mesyuarat JKKT telah menimbangkan keputusan-keputusan mesyuarat yang dibuat oleh MNKT dipengerusikan oleh YB Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan di Hotel Renai di sini semalam Timbalannya iaitu Dato’ Abdul Rahman Yunus merangkap ADUN Pasir Tumboh.

MNKT sebelum ini meluluskan garis panduan mengenai perancangan bandar rendah karbon dan berdaya tahan perubahan iklim akan menjadi panduan penting dalam perancangan bandar.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof itu turut dihadiri Menterinya, Nga Kor Ming, Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Media sebelum ini melaporkan ia juga bersetuju melaksana perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui beberapa rang undang-undang (RUU) berkaitan.

Antaranya seperti Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 serta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025.

Pada mesyuarat itu Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil turut mendengar pembentangan dua kertas pertimbangan mengenai pembangunan kemudahan di Kelantan.

Beliau berkata, kertas pertimbangan itu disampaikan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kelantan sementara satu lagi pembentangan daripada Majlis Daerah Gua Musang (MDGM).

Kesempatan itu beliau merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan Setiausaha PBT baru dilantik serta PBT yang diumumkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2025 baru-baru ini.

Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) telah dinobatkan antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun 2025, ia menjadikan jajahan kedua mendapat pengiktirafan itu selepas Jeli. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -