
KOTA BHARU: Hubungan penghulu dan pengawa bersama pihak berkuasa memperkukuhkan tindakan peringkat akar umbi bagi membanteras penggunaan dadah dalam komuniti.
Ia menjadi cadangan diutarakan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad ketika mesyuarat bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Selain itu beliau turut mengutarakan gandingan strategik dengan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan dalam usaha mengekang penularan gejala tersebut dalam kehidupan masyarakat hari ini.
“Kita perlu bergerak secara kolektif untuk memastikan generasi muda tidak akan terjebak dalam kancah yang merosakkan masa depan mereka.
“Sebagai Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM Kelantan), saya akan terus memastikan langkah yang dibincangkan ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu mengadakan mesyuarat bersama AADK bagi membicarakan masalah penyalahgunaan dadah.
Bagi menangani isu itu beliau berkata, empat langkah telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak seperti meningkatkan pendidikan dan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah.
Selain itu pihaknya berhasrat untuk pastikan penglibatan aktif masyarakat dalam program pencegahan dan melaksanakan aktiviti di masjid setiap minggu sebagai platform bimbingan. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











