
KOTA BHARU: Inisiatif kerajaan negeri bagi menyemarakan lagi aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan mampu menjana tarikan baharu bagi sektor pelancongan ibadah di Kelantan.
Penganjuran Madinah Ramadan saban tahun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjadi nilai tambah pelancongan, kata Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa.
Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Bandar Raya Islam MPKB-BRI itu berkata, ia menjadi tarikan bukan sahaja penduduk di negara ini bahkan turut mencuri tumpuan negara jiran.
“Konsep pelancongan ibadah juga diperkenalkan selari Tahun Melawat Kelantan yang menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Malaysia termasuk Thailand dan Brunei.
“Fenomena luar biasa tercetus apabila terdapat pengunjung dari Kuala Lumpur sanggup berulang-alik penerbangan setiap hari semata-mata menunaikan solat di Madinah Ramadan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan ada pelancongan yang sanggup merantau sejauh 600 kilometer semata-mata mahu merasai suasana Ramadan di Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.
Selain itu, banyak video dalam media sosial pelancong asing memaparkan kemeriahan berbuka puasa di Kelantan selain semangat rakyatnya menjalani ibadah sepanjang Ramadan.
Wan Mohd Sharafi dalam satu coretan di media sosial hari ini berkata, pihak penganjur, Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI turut menjemput imam khas Mesir mengetuai solat tarawih.
Beliau berkata, ia menawarkan satu lagi suasana dan pengalaman baharu kepada pengunjung Madinah Ramadan dengan keindahan bacaan pada taranum sempurna selain fasahah yang baik.
Buat kali pertama katanya lagi, pada 2008 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu mengundang imam-imam seperti Syeikh Ahmad Rejab Al-Fayyumi dan Syeikh Abdurrahman Al-Muknis.
“Ini menjadikan pengalaman luar biasa kepada makmum seolah-olah mereka berada di Makkah dan Madinah solat berjemaah dengan lenggok bacaan ayat suci al Quran yang memukau.
“Keunikan bacaan mereka terletak pada tarannum yang indah dan pada fasahah (kejelasan sebutan) serta keunikan lahjah (slang) yang dapat menyentuh hati dan jiwa pendengar,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











