Jaga kebersihan sepanjang perjalanan pulang ke kampung

Shaari (baju maaron) bersama staf Zayyan FM dan kakitangan MTD Bunut Payong sewaktu majlis berbuka.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Para pengguna jalan raya khususnya anak Kelantan di perantauan diingatkan menjaga kebersihan sepanjang perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman menasihati orang ramai supaya tidak membuang sampah ke luar dari kenderaan, sebaliknya menyediakan plastik khas di dalam kereta untuk mengumpul sampah agar tidak mencacatkan pemandangan di sepanjang laluan.

“Jangan jadikan jalan raya sebagai tong sampah. Sediakan plastik khas dalam kereta untuk membuang sampah bagi mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan imej masyarakat kita sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Majlis Tindakan DUN Bunut Payong bersama petugas MTD dan wakil Astro, Gegar FM, Era FM dan Zayan FM di Jewels Hotel, di sini kelmarin.

Shaari berkata, tindakan membuang sampah ke luar kenderaan bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, bahkan turut memberi gambaran buruk terhadap masyarakat Kelantan jika tidak berhati-hati dalam menjaga kebersihan.

Menurut beliau, kesesakan jalan raya yang berlaku menyebabkan ramai pemandu berhenti buat seketika sehingga ada pihak mengambil jalan mudah dengan membuang sampah dari dalam kenderaan.

“Laluan seperti Kuala Lipis–Gua Musang sering menjadi lokasi utama masalah ini. Sikap sebegini menggambarkan rakyat Kelantan tidak menjaga kebersihan dan gemar membuang sampah merata-rata tempat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, aspek kebersihan perlu diberi perhatian sama seperti keselamatan jalan raya demi kesejahteraan bersama.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika memandu dalam perjalanan pulang ke Kelantan.

Tambahnya, setiap tahun jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan sempena Aidilfitri akan meningkat berbanding hari biasa, sama ada kenderaan peribadi, awam mahupun lain-lain.

“Dengan anggaran sekitar dua juta kenderaan pada musim ini, saya ingin menasihati anak-anak perantau supaya merancang perjalanan dengan baik.

“Pastikan kita dalam keadaan bersedia untuk balik kampung bagi menyambut Aidilfitri agar perjalanan kita bermula dengan lancar seawal keluar dari rumah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Shaari turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh anak perantau yang berada di serata negara dan dijangka pulang menyambut lebaran bersama keluarga.

“Semoga kepulangan anak-anak perantau akan memberi impak besar dalam mengeratkan silaturahim bersama sanak saudara.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan saling bermaafan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -