
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri mengetuai rombongan dalam pertemuan dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Prof. Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong. (Foto atas)
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, pertemuan yang diadakan itu adalah bagi membincangkan isu-isu semasa serta mendapatkan panduan dalam usaha pembinaan negara bangsa.
“Dalam pertemuan ini, antara intipati yang beberapa kali ditegaskan oleh Prof Teo adalah negara Malaysia, khususnya Semenanjung adalah bumi Melayu-Islam meskipun komponennya bersifat majmuk.
“Namun penduduk asal adalah Melayu. Sumber luar dari China, Jepun, Portugis dan Belanda daripada kurun ke-16 membuktikan ianya Tanah Melayu dan semua warganegara mesti memperakuinya,” katanya.
Selain itu, Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan adalah ejen penyatuan dan menguasai Bahasa Melayu adalah syarat wajib bagi setiap warganegara Malaysia.
“Akar permasalahan wujudnya jurang antara kaum di Malaysia adalah kewujudan sekolah vernakular pada peringkat sekolah rendah dan kesannya sehingga dewasa walaupun negara sudah 68 tahun merdeka.
“Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan konsep integrasi nasional berbanding Thailand, Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain yang mengamalkan konsep asimilasi.
“Formula integrasi nasional terbukti tidak mujarab bilamana masih wujud kesangsian dan ketidakpercayaan antara kaum di Malaysia,” tambah kenyataan itu.
Justeru, Hafez berharap agar pertemuan itu dapat meneruskan dan mengeratkan lagi hubungan Pemuda PAS dengan para cendekiawan dalam negara dalam proses pembinaan negara Malaysia yang lebih sejahtera.
“Berperanan dalam pembinaan negara bangsa adalah bukti kecintaan kita kepada negara dan ianya menjadi tanggungjawab kita semua. Ayuh kita buktikan!” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











