
KOTA BHARU: i-Relief and Humanitarian Outreach (iReach) kini giat melaksanakan aktiviti edaran iftar dan bantuan makanan sempena bulan Ramadan di beberapa lokasi bergolak dan pedalaman dunia.
Program edaran ini berlangsung setiap hari sepanjang bulan Ramadan sehingga ke akhirnya, dengan pelaksanaan yang meliputi pelbagai negara termasuk kem pelarian, kawasan miskin tegar dan komuniti muallaf baru.
Pengarahnya, Johan Ariff Ismail berkata, antara lokasi pelaksanaan program ialah Kem Pelarian Rohingya dan Cham di Masjid Ismaili serta Masjid Quba, Cox’s Bazar, Bangladesh.
Katanya, aktiviti edaran makanan dijalankan secara harian bagi memastikan pelarian dapat menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana yang lebih bermakna.
“Selain itu, edaran turut dilakukan kepada komuniti Etnik Taawana, golongan muallaf baru yang tinggal di sepanjang Sungai Bongka, perhutanan Luwuk Banggai, Sulawesi Tengah.
“Di Afghanistan, bantuan makanan disalurkan kepada para miskin tegar dan anak-anak yatim, manakala di Utara Gaza pula, program ifthar khas akan dilaksanakan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan,” katanya kepada Harakahdaily.
Johan memberitahu, tidak ketinggalan bantuan turut diberikan kepada pelarian Sudan termasuk kanak-kanak ‘Unaccompanied and Separated Children’ di Masjid iReach yang dibina tahun lalu di kem pelarian Bidi Bidi, Uganda.
“Di Malaysia, edaran bubur lambuk kepada 300 penerima diadakan tiga kali di sekitar Kota Bharu, selain pengagihan bakul makanan kepada golongan asnaf serta anak-anak yatim di rumah-rumah kebajikan terpilih,” katanya lagi.
Beliau menambah kata, iReach juga menjayakan program ifthar dan edaran kotak makanan kepada komuniti miskin tegar di perkampungan Buthidaung dan Rauthidaung di sempadan Myanmar-Bangladesh.
“Segala sumbangan yang diterima daripada rakyat Malaysia akan terus kami salurkan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam menyantuni bulan penuh keberkatan ini,” katanya.
Sumbangan orang ramai boleh disalurkan melalui akaun Maybank 553038585368 atas nama iRelief and Humanitarian Outreach. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











