Begitu mudah ketua kerajaan akur arahan seorang ketua parti

- Advertisement -

TAPAH: Perdana Menteri hari ini terkenal dengan pelbagai janji yang dilafazkannya, jika berada di jawatan tersebut akan dilaksanakan beliau dalam tempoh 24 jam, namun sehingga hari ini setelah lebih dua tahun memerintah tidak ditunaikan.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden membidas, namun kurang 24 jam Setiausaha Agung DAP menyebut supaya dipinda Perlembagaan untuk hadkan jawatan Perdana Menteri, terus sahaja dipersetujui.

“Dia janji, “Kalau kita menang hari ni saudara-saudara beri saya 24 jam. (Ya) 24 jam saudara, bukan dua minggu, bukan dua bulan, 24 jam! Menang hari ini, esok minyak turun saudara. Saya ulang!” Perkataan itu terngiang-ngiang dalam telinga dan kepala kita.

“(Tetapi) Dalam tempoh tak sampai 24 jam, di pentas yang sama. Himpunan Konvensyen DAP itu, Perdana Menteri sebut bersetuju cadangan Setiausaha Agung DAP untuk pinda Perlembagaan Persekutuan,” bidasnya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning di pekarangan SRITI Genius Aulad, Bidor, di sini kelmarin.

Tegas beliau, isu utama bukanlah mengenai topik hendak dipinda iaitu berkenaan tempoh jawatan tersebut, tetapi berkenaan betapa mudahnya seorang ketua kerajaan akur kepada ‘arahan’ seorang ketua parti yang mendominasi kerajaan.

Apatah lagi ‘arahan’ itu katanya, melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, iaitu teras undang-undang dasar negara yang semudahnya diterima oleh Perdana Menteri dan dibuat pula di pentas politik dalam Himpunan Konvensyen DAP.

“Nampak tak sebenarnya siapa yang kawal negara? Siapa yang memerintah negara sebenarnya? Siapa yang kawal Perdana Menteri sebenarnya? Ya. Kerana mereka ada kuasa, ada kerusi yang banyak dalam kerajaan, mereka dominan dalam parti kerajaan,” ujarnya.

Ustaz Afnan turut mempertikaikan parti-parti yang bersama dalam kerajaan ketika ini khususnya Umno yang tidak bersuara membantah atau menegur mengenai perkara tersebut, sedangkan selama ini berdegar-degar bercakap mengenai Melayu.

Tempelaknya, sikap berdiam serupa dapat dilihat dalam isu Titah Adendum yang menunjukkan jika hak Raja tidak dipatuhi, maka kerajaan ini tidak boleh menjamin untuk menghormati, mendengar, mengangkat dan membela nasib rakyat.

Tegas Afnan lagi, sebagai pemimpin-pemimpin politik yang sudah berkuasa setelah dipilih oleh rakyat, kerajaan sepatutnya meninggalkan semua permusuhan-permusuhan sebaliknya menumpukan kepada mandat telah diberikan.

Malangnya kata beliau, kerajaan hari ini lebih sibuk mencari salah kerajaan terdahulu dan lawan politik mereka hingga tidak terlihat arah tuju hendak dibawa negara ini menyebabkan banyak isu rakyat dan negara tidak ditangani.

“Bila saya sebut tentang had jawatan Perdana Menteri, saya ulas, mereka mengatakan ooh kamu tak reti menilai, tak pandai, inilah dia ruang untuk menyekat rasuah daripada berkuasa, menyekat kronisme.

“Hari itu sebelum pilihan raya, dia berjanji kalau menang, jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan akan dipisahkan. Hari ni jadi atau tidak janji itu? Dia buat ataupun dia bohong buka mulut saja.

“Hari ni bila kita bersuara di platform yang betul dalam Parlimen, luar Parlimen, suara kita disekat, ditakut, diugut. Dihantar polis, soal siasat diheret ke pejabat SPRM, beberapa orang disoal siasat diberikan tekanan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -