
TAPAH: Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menampilkan orang nombor satu pentadbiran menjadi ‘influencer’ (pempengaruh) kepada Kerajaan Perpaduan dan bukan berperanan selayaknya sebagai seorang Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, PH-BN mempertaruhkan seorang kaki pembohong, kaki penipu dan kaki taruh janji yang berjanji macam-macam sejak sebelum menjadi kerajaan sebagai ‘muka depan’ kerajaan.
“(Dia) kalau berdiri atas pentas, tak fikirpun apa yang dicakap dekat depan akan membawa dasar kepada kerajaan. Yang dia sebut apa? Kalau sepuluh majlis dia datang, sepuluh majlis skrip sama je semua. Tuduh orang sakau, tuduh orang rasuah, tuduh orang menipu.
“Tapi semua yang dia cakap berkenaan tentang dirinya,” ujarnya pada Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning di pekarangan SRITI Genius Aulad, Bidor, di sini kelmarin.
Katanya, walaupun kerajaan memiliki dana jutaan ringgit dan jentera pelbagai ruang lapis serta agensi-agensi kerajaan, tetapi masih gagal menterjemahkan kebaikan kerajaan kepada rakyat kerana tiada apapun kelebihan dibuat kerajaan kepada rakyat.
Hinggakan kerajaan menurutnya terpaksa membuat satu inisiatif menghantar wakil daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mengulas isu setiap hari bagaikan sudah tidak cukup jurucakap yang ditampilkan oleh kerajaan iaitu Menteri ‘Gol and Gincu’.
Beliau menyifatkan semua itu sebagai tanda gatalnya pasukan kerajaan pada hari ini walaupun PH-BN menuduh PN selaku pembangkang sebagai lemah, tidak bersuara dan tidak ada apa-apa dibawa kepada rakyat seluruhnya.
Sedangkan PH-BN bidas Khairul Nadzir, menggunakan segala undang-undang dan agensi kerajaan termasuk menutup media sosial pihak pro-pembangkang atau pengkritik kerajaan, selain menyekat akses laman sesawang yang menjadi tatapan rakyat.
“Inilah hakikat kerajaan yang ada sekarang. Dalam masa yang sama, dapat dilihat hari-hari mereka mencanang ekonomi berada dalam keadaan yang baik. Pelaburan masuk
bilion-bilion, trilion-trilion. Kalau ada atas lagi dari trilion, itu juga akan disebut mereka.
“Tapi hakikatnya ekonomi negara okey atau tidak? Beras hilang, minyak paket hilang, santan naik harga. Tiba-tiba kata pelaburan naik trilion-trilion,” bidasnya menyifatkan PH-BN mengambil risiko sangat besar kerana meletakkan seorang pembohong sebagai duta kerajaan.
Malah tempelaknya, PH-BN juga meletakkan orang nombor dua iaitu Timbalan Perdana Menteri seorang yang tidak dilihat bercakap mengenai ekonomi mahupun dasar negara, kerana individu tersebut hanya dipenuhi dengan skandal.
Tambah Khairul Nadzir, segala siaran di media sosial atau media konvensional yang cuba menonjolkan mengenai kebaikan kerajaan hari ini hanya menjadi bahan lawak jenaka apabila menerima reaksi lucu daripada rakyat yang ketawa beramai-ramai.
“Kerajaan sekarang ini berada di takuk yang cukup berbahaya ketika mereka merasakan mereka selesa. Rakyat di bawah sedang bersedia untuk turunkan mereka,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











