PRK Ayer Kuning jadi mesej rakyat terhadap kegagalan kerajaan

Muhammad Hilman Adham
- Advertisement -

TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menjadi ‘batu loncatan’ untuk rakyat memberikan signal dan mesej jelas kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

- Advertisement -

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Adham berkata, rakyat pada hari ini sudah tidak tahan dan tidak lagi boleh bertoleransi terhadap kegagalan-kegagalan yang berlaku dalam negara ini.

“Kerajaan yang ada pada hari ini merupakan kerajaan yang cakapnya tak serupa bikin. Dia janji harga minyak turun, tak turun-turun. Dia janji pendidikan percuma, takde yang percumanya. Dia janji kos sara hidup rendah, takde juga rendah. Semakin hari melambung tinggi.

“Dia kata dia paling hebat untuk menguruskan ekonomi negara, tetapi hari demi hari kita lihat bagaimana polisi dan pentadbiran ekonomi negara dan juga kewangan negara kembali kucar-kacir dan akhirnya pelabur-pelabur pun angkat kaki dan meninggalkan negara.

“Bukan sebab apa, sebab kerajaan yang ada di Putrajaya hari ini ialah kerajaan yang tidak absah. Dia bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dia kerajaan sebab dia dapat cantum-cantum sahaja,” katanya pada Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) di pekarangan SRITI Genius Aulad, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden; Ketua Penerangan Pemuda PN, Khairul Nadzir Helmi Azhar; Ketua Pemuda PN Negeri Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri dan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamed Sukri Omar.

Tambah Hilman, PRK DUN Ayer Kuning juga penting kerana rakyat Malaysia selepas ini akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka akan berlangsung tahun hadapan.

“Saya kesian dengan penyokong-penyokong Umno dan juga Barisan Nasional di DUN Ayer Kuning ini. Sebab mereka ini dipergunakan oleh seorang individu yang namanya (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim semata-mata untuk mempertahankan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Dia nak memastikan dalam pilihan raya akan datang, dia sempat sekali lagi kekal dalam jawatannya sebagai Perdana Menteri, dia tak hirau,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -