
KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) meningkatkan aktiviti promosi dalam usaha menarik lebih ramai lepasan sekolah mengikuti pengajian di institusi pendidikan kerajaan negeri itu.
Rombongan diketuai Rektor KIAS, Prof Dr Mazlan Ibrahim mengadakan kunjungan hormat salah sebuah sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) iaitu Maahad Pengajian Islam (MPI) di sini kelmarin bagi mencapai hasrat itu.
Inisiatif itu dilaksanakan bertujuan bagi membincangkan peluang antara kedua-dua belah pihak bagi mengalakan lagi kemasukan pelajar apatah lagi institusi pendidikan kelolaan YIK merupakan ‘feeder school’ bagi KIAS.
Turut hadir dalam lawatan itu Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan, Dr. Nurul Akma Mohamed; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail dan Pendaftar, Mohd Zahari Sulaiman.
Rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini, lebih kurang 300,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pelajaran kerana beberapa faktor termasuk pengaruh ekonomi gig.
Malah kerajaan turut melahirkan kebimbangan apabila berdepan cabaran untuk melahirkan tenaga mahir kerana pelajar lepas sekolah lebih berminat untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. – HARAKAHDAILY 18/3/2025











