PAS terus kukuh perjuangan, sasar pengaruh lebih luas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS lahir daripada kesedaran tinggi para ulama terdahulu yang melihat keperluan untuk memastikan Islam terus dimartabatkan di tanah air, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah. 

- Advertisement -

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, para ulama terdahulu telah berkumpul, berbincang, dan menyusun strategi sehingga akhirnya terbentuk sebuah gerakan yang berlandaskan prinsip Islam dan terus berkembang hingga ke hari ini. 

“Sejarah perjuangan ini bukan sesuatu yang baru. Generasi terdahulu mungkin tidak sempat menyaksikan hasil usaha pengorbanan mereka yang dicapai hari ini. Bermula dengan mengukuhkan pentadbiran di Kelantan, kemudian Terengganu, diikuti Kedah dan Perlis, langkah perjuangan ini terus berkembang. 

“Sekiranya bukan kerana beberapa kekangan teknikal, tidak mustahil lebih banyak negeri turut berada dalam arus perubahan ini,” katanya dalam media sosial miliknya. 

Perkembangan positif di Johor 

Mengulas perkembangan di Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri Panchor itu berkata, PAS berjaya menempatkan wakil rakyat di negeri itu, satu pencapaian positif yang menunjukkan perkembangan perjuangan parti. 

“Di Johor, kita telah berjaya menempatkan wakil rakyat. Ia satu perkembangan yang positif. Namun, perjuangan ini bukan semata-mata tentang kemenangan atau kekalahan, kerana segalanya berada dalam ketentuan Allah. 

“Yang paling penting adalah usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan,” katanya. 

Beliau turut memetik firman Allah SWT yang bermaksud, “Bekerjalah kamu, maka Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman akan melihat hasil usaha kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu diberitahu segala apa yang telah kamu kerjakan.”

Mohd Amar menegaskan bahawa setiap langkah dalam perjuangan PAS bukanlah sesuatu yang sia-sia dan yakin bahawa usaha yang dilakukan hari ini akan membawa kejayaan lebih besar di Johor serta di seluruh negara. 

Perjuangan perlu keutamaan 

Menurutnya, perjuangan PAS tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sampingan atau dilakukan secara separuh hati, sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan. 

“Ia perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh para rasul dalam menyebarkan risalah mereka. 

“Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Hari ini, kita melihat perkembangan yang begitu ketara daripada hanya tujuh ahli Parlimen, kini PAS telah mempunyai 43 kerusi. 

“Bersama dengan sokongan rakan-rakan strategik, perjalanan ke arah perubahan yang lebih baik semakin jelas kelihatan,” katanya. 

Keutuhan akidah dan ukhuwah 

Mohd Amar turut menegaskan bahawa kekuatan utama umat Islam terletak pada keutuhan akidah dan kejelasan ideologi, seperti yang disebut oleh tokoh Islam, Syed Sabiq. 

“Kepercayaan yang kukuh kepada nilai-nilai Islam menjadikan kita lebih bersedia menghadapi cabaran dan dalam masa yang sama, mengelakkan diri daripada sebarang perkara yang boleh merencatkan perjuangan,” katanya. 

Selain itu jelasnya, semangat ukhuwah dan perpaduan juga menjadi tunjang kepada sesuatu kejayaan. 

“Tidak sepatutnya ada perbezaan antara individu berdasarkan lokasi atau latar belakang. Apabila bergerak dalam satu pasukan yang bersatu hati, matlamat yang ingin dicapai menjadi lebih mudah dan jelas,” katanya. 

Rakyat mula mencari alternatif 

Dalam konteks politik semasa, Mohd Amar berkata rakyat semakin matang dalam menilai kepimpinan negara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

“Hari ini, rakyat semakin matang dalam menilai. Mereka melihat dan meneliti setiap keputusan yang diambil oleh pemimpin negara. 

“Dengan keadaan ekonomi yang mencabar dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai yang mula mencari alternatif yang lebih baik,.

“Justeru, bagaimana kita boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi rakyat?” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa PAS perlu terus bekerja keras dalam membina hubungan erat dengan masyarakat dan menyampaikan mesej perjuangan parti melalui pendekatan yang berkesan. 

“Tiada jalan lain selain daripada bekerja keras, membina hubungan yang erat dengan masyarakat, dan menyentuh hati mereka melalui pelbagai pendekatan yang berkesan. 

“Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, ‘Berbuat baiklah kepada manusia, nescaya kamu akan memiliki hati mereka’,” katanya. 

Mohd Amar menegaskan bahawa segala usaha PAS adalah demi kepentingan rakyat dan negara, serta diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

“Akhirnya, segala usaha ini kita serahkan kepada Allah, kerana hanya Dia yang berkuasa menentukan segalanya. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam bekerja dan kesungguhan dalam berkhidmat untuk masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2025

- Advertisement -