
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Ustaz Mohd Asri Mat Daud semalam meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan di Pasar Tok Kenali, Binjai.
Beliau tiba kira-kira pukul lima petang itu diiringi oleh petugas dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Demit sempena penganjuran program titipan penerangan @ Bazar Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta itu turut melawat gerai-gerai dan beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung Bazar.
Ketika menyampaikan ucapan Mohd Asri menekankan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Allah menjalani ibadah puasa termasuk mencari makanan dijadikan juadah berbuka.
“Mari Pasar Tok Kenali ini untuk kita sama-sama mencari makanan itu tandanya kita sihat dan rasa gembira rezeki Allah bagi kita seterusnya kita ‘support’ peniaga di bazar,” katanya.
Sebahagian peniaga memaklumkan, sekiranya makanan atau minum tidak habis menjelang maghrib, mereka akan sedekahkan kepada orang ramai untuk berbuka tanpa hiraukan kerugian. – HARAKAHDAILY 18/3/2025











