ADUN Sungai Limau sumbang Shantoh Ramadan

- Advertisement -

JERAI: Ramadan terus diimarahkan serta disuburkan dengan pelbagai aktiviti kebajikan khususnya membantu golongan kurang berkemampuan.

- Advertisement -

Bertempat di Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sungai Limau, seramai
100 asnaf diraikan dengan Sumbangan Shantoh Ramadan sebagai membantu meringankan beban menyambut Aidilfitri, hujung bulan ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, ‘shantoh’ merupakan istilah dari Bahasa Arab bermaksud beg atau pakej.

Istilah itu katanya, digunakan bagi program sumbangan kali ini sebagai satu kelainan berbanding istilah yang selalu digunakan sebelum ini.

Manakala para penerima maklumnya adalah dari kalangan asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, Sungai Limau.

Sumbangan Shantoh Ramadan ini, bukan sahaja melalui PKWR DUN terbabit tetapi ia juga disediakan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK,  Dato’ Wira Isahak Murat dan Pengerusi PUSPANITA PKNK, Noor Afzal Osman.

Terdahulu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri itu telahpun mengadakan majlis sumbangan pada awal Ramadan lalu kepada golongan sasaran di sekitar DUN tersebut.

“Kita imarahkan bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan untuk membantu meringankan beban mereka terutama menjelang Aidilfitri,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Dato’ Azam mengalu-alukan penyertaan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak persendirian dan lain-lain untuk turut menyumbang kepada golongan asnaf ini.

Dalam pada itu, PKNK juga berhasrat akan menambah bilangan penerima pada tahun hadapan, agar lebih ramai asnaf yang mendapat manfaatnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -