Membersihkan jiwa: Sebuah perjuangan seumur hidup

- Advertisement -

SETIAP daripada kita sedang melalui perjalanan yang sama—mencari ketenangan, mencari cahaya, mencari diri sendiri dalam lautan kehidupan yang penuh gelombang. Tidak kira siapa kita, berapa tinggi ilmu yang kita miliki, atau bagaimana manusia memandang kita, hakikat dalaman diri tetap satu rahsia yang hanya Allah mengetahuinya.

Betapa ramai di antara kita yang mungkin tampak baik, fasih berbicara, berjawatan tinggi dalam agama, tetapi hakikatnya, masih berjuang dengan bisikan-bisikan nafsu, keluh kesah yang tidak berkesudahan, serta penyakit hati yang belum terubat. Mujahadah membersihkan diri bukan tugas sehari dua, tetapi jihad seumur hidup.

Jihad melawan diri sendiri

Muhammad Ibnul Munkadir, seorang tabi’in yang masyhur, guru kepada ramai ulama besar termasuk Imam Malik, pernah berkata:

- Advertisement -

كَابَدْتُ نَفْسِي أَرْبَعِينَ سَنَةً حَتَّى اسْتَقَامَتْ.

“Aku telah berjuang melawan diriku sendiri selama 40 tahun sehingga ia menjadi istiqamah (tetap dalam kebaikan).”

Beliau bukan sekadar alim dalam ilmu, tetapi seorang yang luar biasa dalam mujahadah diri. Imam Malik sendiri, meskipun seorang yang tinggi ilmunya, setiap kali menziarahi Muhammad Ibnul Munkadir, dia merasakan dirinya sangat kerdil apabila berhadapan dengannya.

Itu adalah pengakuan seorang imam besar, menunjukkan betapa tinggi maqam istiqamah dan warak seorang tabi’in ini.

Jika seorang tabi’in yang hebat pun harus melalui perjuangan sebegitu lama untuk menundukkan hawa nafsu, bagaimana pula kita?

Kadang-kadang kita tertanya, mengapa hati kita masih gundah walaupun solat kita lengkap, zikir kita banyak, ilmu kita luas? Jawapannya ada dalam penyucian jiwa (تَزْكِيَةُ النَّفْسِ).

Hasad: Api yang membakar ketenangan

Al-Quran menceritakan penyakit yang menimpa Ahlul Kitab—mereka mengenali kebenaran, tetapi menolak kenabian Nabi Muhammad SAW. Mereka menolak kebenaran bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana tidak mahu!

Allah berfirman:

“كُفْرًا وَحَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم”

 “Kekufuran dan hasad itu datang dari dalam diri mereka sendiri.” (Al-Baqarah: 109)

Mereka tahu kebenaran, mereka membaca kitab, mereka mengenali sifat Rasulullah SAW seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, tetapi mereka menolak dengan penuh keangkuhan kerana hasad yang ada dalam diri mereka.

Bukankah penyakit ini juga masih membelenggu kita?

Kita membaca al-Quran, kita tahu Allah telah membahagikan rezeki manusia dengan adil, tetapi hati kita masih bertanya:

“Mengapa dia lebih berjaya daripadaku?”

“Mengapa rezekiku tidak sebanyak rezekinya?”

Hasad adalah racun dalam jiwa. Ia membakar ketenangan, menjadikan kita resah, dan membuat kita tidak pernah puas dengan apa yang Allah tetapkan untuk kita

Ramadan: Peluang membersihkan diri

Di antara rahmat Allah, Dia menghadiahkan kepada kita bulan Ramadan—bulan penyucian hati dan kembalinya jiwa kepada fitrah. Allah berfirman:

“لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ”

“Agar kamu bertakwa.”  (al-Baqarah: 183)

Ramadan bukan sekadar latihan menahan lapar dan dahaga, tetapi madrasah mujahadah—tempat kita menundukkan hawa nafsu, membersihkan hati daripada segala penyakit, dan kembali kepada fitrah yang sebenar.

Lihat bagaimana selepas sebulan kita berjuang, Allah menghadiahkan kepada kita hari raya Idulfitri—iaitu perayaan fitrah. Kerana jiwa yang suci itu akan merayakan kebebasan daripada nafsu, merayakan kemenangan dalam mujahadahnya.

Tazkiyatun Nafs: Cahaya yang menenangkan

Bagaimana kita dapat membersihkan jiwa?

 1. Qiyamul lail (قِيَامُ اللَّيْلِ) – Bangun malam, bersujud dalam sepi, menangis di hadapan Allah. Saat itulah hati kita akan terasa benar-benar hidup.

 2. Muhasabah diri (مُحَاسَبَةُ النَّفْسِ) – Merenung niat dan amalan kita, membuang penyakit hasad serta kebencian.

 3. Reda dengan takdir (الرِّضَا بِالْقَضَاءِ وَالْقَدَرِ) – Tidak mempertikaikan nikmat yang Allah bahagi.

 4. Al-Quran (القُرْآنُ الْكَرِيمُ) – Bacaan yang melembutkan hati dan menyucikan roh.

 5. Bersahabat dengan orang soleh (مُجَالَسَةُ الصَّالِحِينَ) – Jiwa manusia terpengaruh dengan lingkungannya.

Ketenangan itu milik hati yang suci

Kekayaan yang melimpah, pangkat yang tinggi, dan kedudukan istimewa di sisi manusia bukanlah jaminan ketenangan. Begitu juga sebaliknya.

Jalan kebahagiaan bukanlah pada dunia, tetapi pada hati yang suci, reda dengan Allah, dan dirinya diredai Ilahi.

Oleh itu, kita semua mesti bermujahadah untuk memperbaiki diri, kerana akhirnya yang akan memberi ketenangan bukan dunia, tetapi Allahumma antassalam wa minkassalam—hanya Allah yang mampu memberi kesejahteraan kepada jiwa manusia.

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ وَإِلَيْكَ يَعُودُ السَّلَامُ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلَامِ

“Ya Allah, Engkaulah sumber kesejahteraan, daripada-Mu datangnya kesejahteraan, dan kepada-Mu kembalinya kesejahteraan. Maka hidupkanlah kami dalam kesejahteraan, wahai Tuhan kami.”

DATUK DR. AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 18/3/2025

- Advertisement -