Ustaz Wan dekati, santuni asnaf dalam majlis iftar

- Advertisement -

ARAU: Meskipun menggalas tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim tetap komited mendampingi penduduk dengan menghadiri Majlis Iftar Unit Daerah Mengundi (UDM) Changkat Jawi, petang semalam.

- Advertisement -

Majlis tersebut bukan sekadar sesi berbuka puasa, malah menjadi platform untuk menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 40 penerima asnaf dari Kampung Telaga Haji Latif, Kampung Padang Besar, dan Kampung Pida 2 Changkat Jawi.

Beliau yang mesra disapa Ustaz Wan berkata, tanggungjawab terhadap warga penduduk tidak pernah terhenti walaupun kini menggalas tugas lebih besar di peringkat negeri.

“Sebagai wakil rakyat, kebajikan penduduk tetap menjadi keutamaan saya. Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka dalam menjalani ibadah puasa,” katanya.

Setiap penerima menerima keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum bagi membantu persiapan mereka sepanjang Ramadan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah MTD, Ustaz Mohd Fuad Hashim, serta barisan kepimpinan Muslimat dan Pemuda DUN, selain Pengerusi MPKK Kampung Telaga Haji Latif, Padang Besar.

Dalam pada itu ujarnya, program kebajikan akan terus dilaksanakan di DUN Guar Sanji, termasuk tiga lagi majlis iftar yang dijadualkan serta sumbangan khas Aidilfitri kepada 250 penerima pada 23 dan 24 Mac nanti.

Terdapat enam Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasan itu, iaitu UDM Serdang, UDM Chemumar, UDM Changkat Jawi, UDM Behor Mentalon, UDM Sena, dan UDM Guar Sanji.

Semuanha aktif menganjurkan pelbagai program kebajikan demi kesejahteraan warga penduduk. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -