Acara Ramadan: Kerajaan hargai teguran rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan meneliti semula garis panduan penganjuran acara sepanjang Ramadan susulan teguran rakyat mengenai Pelita Raya dan Pesta Moreh yang dikatakan kurang menepati roh bulan suci ini. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri menghargai maklum balas rakyat dan akan memastikan setiap program yang dianjurkan sejajar dengan ajaran Islam serta budaya masyarakat. 

“Kami amat menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara.

“Pelita Raya yang bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, menerima aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini.

“Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat. Ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri yang sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan,” katanya. 

Beliau turut mengakui kebimbangan rakyat mengenai Pesta Moreh yang dilihat lebih menonjolkan aspek makanan hingga menimbulkan persepsi Ramadan sebagai pesta makan berbanding bulan ibadah. 

“Kami menyedari peranan Pesta Moreh dalam membantu ekonomi peniaga serta menambah pendapatan rakyat. Walau bagaimanapun, terdapat aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Ada yang merasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah. Sehingga ada persepsi bahawa terdapat pihak yang lebih teruja mengejar juadah moreh berbanding berusaha memperbanyakkan ibadah.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh.

“Antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai. Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu,” katanya.

Khalil yang juga ADUN Batu Buruk turut mengajak rakyat Terengganu untuk memanfaatkan program Madinah Ramadan sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu, sebagai platform untuk menghidupkan suasana Ramadan dengan lebih bermakna. 

“Kami komited untuk memastikan setiap program yang dianjurkan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat.

“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan seluruh masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -